suria

Dana SPAD Pulih Semula Khidmat Bas Henti-Henti Luar Bandar

TANJUNG KARANG: Peruntukan RM400 juta oleh kerajaan persekutuan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memberi kelegaan kepada rakyat terutamanya di luar bandar untuk menikmati semula perkhidmatan bas henti-henti.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar yang juga Anggota Parlimen Tanjung Karang hari ini berkata sebagai contoh, perkhidmatan bas henti-henti antara Tanjung Karang dan Kuala Selangor kini dapat disambung semula setelah dihentikan dua tahun lalu akibat kerugian.

"Peruntukan RM400 juta yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan melalui SPAD bagi membantu syarikat bas henti-henti di seluruh negara telah memberi nafas baharu kepada rakyat untuk terus menikmati kemudahan tersebut," kata Noh selepas melancarkan semula perkhidmatan bas henti-henti Tanjung Karang-Kuala Selangor, di sini.

Pengarah Urusan Konsortium Transnasional Bhd Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh hari ini berkata anak syarikatnya Cityliner sekarang menyediakan dua bas dengan 32 perjalanan sehari bagi Tanjung Karang-Kuala Selangor setelah ia dihentikan pada 2011 kerana kerugian akibat kos operasi meningkat.

"Dana dari SPAD telah banyak membantu syarikat bas memulihkan perkhidmatan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar pula berkata setakat ini RM84.8 juta daripada RM400 juta itu telah diagih-agihkan kepada 116 pengendali bas di seluruh negara. Daripada RM84.8 juta itu, RM17.5 juta atau 20 peratus telah diagihkan kepada lima pengendali syarikat bas di Selangor, katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain