suria

Tiga Bekas Pengarah Syarikat Didakwa Kemuka Penyataan Palsu

KUALA LUMPUR: Tiga bekas pengarah syarikat Axis Incorporation Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan mengemuka dan memberi penyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Saipuddin Lim Abdullah, 54, Koh Tee Jin, 47, dan Lee Han Boon, 32, didakwa mengemuka empat penyataan palsu dalam penyata pendapatan bagi tahun 2006 dan 2007 syarikat itu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad di Bukit Kewangan di sini antara Ogos 2006 hingga Mei 2007.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 122B (b)(bb) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM3 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kelima, mereka didakwa memberi penyataan palsu dalam penyata pendapatan bagi tahun berakhir 31 Mac 2008 syarikat pembuat pakaian itu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad di tempat sama pada 22 Mei 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 369 (b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM3 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah.

Mahkamah memerintahkan kes itu dibicarakan bersama dan menetapkan 21 Mei untuk pengurusan kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Ahsani Mohd Nasir menawarkan jaminan RM250,000 dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan iaitu pasport mereka diserah kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Datin Daljit Kaur yang mewakili Koh dan Chua Chan Cher bagi pihak Saipuddin serta Lee memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guam mereka memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan. -BERNAMA

Artikel Lain