suria

SK Fajar Harapan Dibuka Semula, SK Lok Buani, Tanjung Labian Masih Ditutup

TAMPARULI: Sekolah Kebangsaan (SK) Fajar Harapan yang ditutup sejak 1 Mac lepas susulan insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu, dibuka semula sejak Rabu selepas polis mengesahkan keadaan di kawasan itu selamat dan terkawal.

Bagaimanapun, Pengarah Pelajaran Negeri Sabah Jame Alip berkata dua lagi sekolah iaitu SK Lok Buani dan SK Tanjung Labian, kira-kira 150 kilometer dari pekan Lahad Datu, masih ditutup atas nasihat pasukan keselamatan.

Ketiga-tiga sekolah itu mempunyai 1,037 murid termasuk 647 yang belajar di SK Fajar Harapan, katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia bagi negeri Sabah di SMK Tamparuli, dekat sini, Khamis.

Beliau berkata pelajar di SK Tanjung Labian dan SK Lok Buani kini menumpang belajar di SK Fajar Harapan, SK Cenderawasih di Felda Sahabat 16 dan mengikuti sesi belajar sementara di pusat penempatan Embara Budi dan Gemala Pura.

Gemala Pura dan Embara Budi merupakan penempatan sementara penduduk Lok Buani dan Tanjung Labian yang terpaksa berpindah ekoran insiden pencerobohan pengganas itu.

Sebelum ini, 11 sekolah di Lahad Datu diarah ditutup sementara susulan insiden pencerobohan pengganas itu dan dibuka semula secara berperingkat.

Jame berkata difahamkan terdapat murid-murid yang dibawa keluar (oleh keluarga) dari Lahad Datu ke daerah lain termasuk Semporna dan Tawau.

"Apa yang penting ialah, kalau ada (yang dibawa) ke Kota Kinabalu sekalipun, mereka boleh menumpang mana-mana sekolah yang terdekat. Kepada guru besar di kedua-dua sekolah yang masih ditutup ini, mana-mana murid yang tinggal berdekatan dengan sekolah, mereka dibenarkan menumpang.

"Guru-guru kita memang berkorban dalam saat ini, mereka tidak berehat bila sekolah ditutup, tapi mereka turun padang mengajar di pusat penempatan itu untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran seperti biasa. Mungkin pendekatan dan kaedah itu berbeza, mungkin secara kelas bercantum atau secara perbincangan berkumpulan tapi tidaklah menggunakan kaedah seperti di kelas biasa," katanya.

Jame berkata semua sekolah yang ditutup sebelum ini atau masih ditutup perlu mengambil masa untuk menggantikan semula cuti itu, tanpa pengecualian.

"Sekiranya ada guru-guru yang 'trauma' ekoran insiden di Lahad Datu kerana saya difahamkan ada berlaku tapi belum ada laporan saya terima, pergilah ke hospital terdekat untuk mendapatkan pemeriksaan.

"Kalau betul-betul trauma, tulis surat kepada guru besar dan sertakan surat untuk memohon cuti...mungkin cuti sakit sehingga mereka normal dan balik mengajar ke SK Lk Buani dan Tanjung Labian," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain