suria

Polis Berkas Anggota Kumpulan Samun Berbahaya 'Ah Long'

JOHOR BAHARU: Polis Johor memberkas seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan samun berbahaya 'Ah Long' dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Setia Indah di sini, awal hari Khamis.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaacob berkata lelaki berusia 30-an itu ditangkap pukul 6.30 pagi tadi dan dipercayai dapat membantu menyelesaikan 25 kes pecah rumah yang dilapor di daerah ini sejak tahun lalu.

"Susulan daripada laporan satu kes pecah rumah di Setia Indah yang dibuat pada 16 Mac lalu, kita menyerbu sebuah rumah dan menahan suspek di mana kita turut merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan samun," katanya pada sidang media, di sini.

Antara yang dirampas ialah beberapa bilah parang, pedang samurai, bom molotov dan sebutir bom asap, katanya.

Suspek juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau bersabit dadah, katanya menambah polis kini memburu anggota lain kumpulan itu yang menyamun rumah mangsa menggunakan senjata tajam.

Mengulas kes lain, beliau berkata pihaknya juga berjaya menumpaskan satu sindiket pertaruhan nombor ekor didalangi rakyat Singapura dengan penangkapan seorang lelaki dan dua wanita di sebuah rumah di Permas Jaya di sini pada 16 Mac lalu.

Menurutnya mereka yang ditangkap dalam serbuan pukul 5 petang itu ialah sepasang suami isteri dan seorang wanita lain berusia antara 30 dan 45 tahun.

Sindiket dipercayai didalangi si suami yang mempunyai kerakyatan Singapura dan sudah beroperasi antara enam bulan dan setahun lalu serta menerima pertaruhan sehingga RM1 juta, katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda sehingga RM200,000 dan penjara sehingga lima tahun. - BERNAMA

Artikel Lain