KUANTAN: Gara-gara muatan berlebihan seorang pemandu lori balak maut apabila kenderaannya terbalik ketika melalui jalan berselekoh dan berbukit di Jalan Ladang Cegar Perah dekat Lipis.Mangsa, Mohd Azizu Mat Zin, 30, berasal dari Kampung Keruak, Hulu Besut, Terengganu mati semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Cegar Perah. Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, dalam kejadian 12.30 tengah hari Selasa, mangsa memandu lori muatan balak itu sendirian menuju ke kawasan ladang berkenaan."Semasa melalui selekoh di situ, mangsa hilang kawalan menyebabkan kenderaannya terbalik ke kanan jalan dipercayai disebabkan muatan balak yang berlebihan."Ekoran itu, mangsa cedera parah di kepala dan badan akibat terjatuh dan dihempap kenderaan terbabit," katanya di sini, Rabu.Sementara itu, dalam kejadian berasingan, M. Mohramu, 37, turut terbunuh selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah lori.Katanya dalam kejadian 1.30 tengah hari semalam di km 20 Jalan Maran-Jerantut dekat Maran itu mangsa dalam perjalanan dari arah Sungai Jerik menuju bandar Maran."Ketika melalui selekoh tajam di situ, mangsa termasuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori terbabit," katanya.Beliau berkata akibat pertembungan itu mangsa mati semasa menerima rawatan di Hospital Jengka sejurus kemudian. BERNAMA