suria

KDN Rangka Penyelarasan Peranan Semua Pihak Dalam ESSCOM

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang bekerja keras merangka tugas serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan semua pihak yang terlibat di Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM), untuk diselaraskan.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata penyelarasan tiga komponen utama iaitu orang awam, tentera dan polis adalah penting bagi menjamin keamanan dan keselamatan di kawasan kira-kira 1,400km pesisir pantai timur Sabah itu.

Beliau berkata orang ramai merupakan komponen amat penting dalam membina keyakinan masyarakat setempat, bahawa keadaan dalam negeri adalah selamat serta terkawal, dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang khabar angin pihak tertentu.

"Barisan pertama pertahanan mestilah komuniti, sebab itu kita ada RELA, JPAM (Jabatan Pertahanan Awam), ketua kampung, pertubuhan JKKK, dan sebagainya semua digerakkan bersama, supaya orang ramai boleh menjadi mata dan telinga dalam usaha menjaga keselamatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di ibu pejabat KDN di sini bagi membincangkan aspek berkaitan penyelarasan tugas dan tanggungjawab pihak berkaitan ESSCOM.

Pembentukan Kawasan Keselamatan Khas itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lepas merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu, untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri Sabah.

Sementara itu Hishammuddin berkata operasi pembersihan bagi memburu saki-baki pengganas di Sabah diteruskan di sekitar Kampung Batu dan Kampung Tanjung Labian, apabila antara 20 dan 50 orang dipercayai masih bersembunyi.

Beliau berkata sehingga semalam 350 orang ditahan atas pelbagai kesalahan, 107 daripadanya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Katanya banyak lagi akta boleh digunakan bagi mendakwa mereka yang ditahan itu di mahkamah, seperti Akta Imigresen dan Akta Bahan Letupan.

Pasukan tentera dan polis masih ditempatkan Kampung Tandou dan Sungai Nyamuk yang diisytihar bersih daripada pengganas sebelum ini, sebagai langkah berwaspada dalam memastikan pengganas tidak kembali ke kawasan itu, katanya.

Artikel Lain