suria

Suami Isteri & Jiran Maut Nahas Jalan Raya

IPOH: Suami isteri dan seorang jiran mereka maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di KM 41.3 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Setia di sini Selasa.

Dalam kejadian 9 malam tadi, mangsa Romlan Ros Abdul Bakar, 52, dan isterinya Haniza Hussin, 46, bersama jiran mereka Mohd Ridzuan Mohd Nor, 55, meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala Zaharah Abdullah, 52, isteri kepada Mohd Ridzuan cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sungai Siput dekat sini, kesemua mereka berasal dari Felda Bersia, Gerik.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supt Azman Salim berkata kereta Proton Iswara yang mereka naiki dalam perjalanan dari Gerik menghala ke Ipoh secara tiba-tiba memasuki laluan treler membawa muatan besi pencawang.

"Treler itu datang dari arah Ipoh ke Kuala Kangsar, apabila sampai di lokasi kejadian tiba-tiba muncul sebuah kereta datang dari arah hadapan masuk ke laluan treler berkenaan," katanya ketika dihubungi Rabu.

Katanya pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis akan menyiasat punca sebenar kejadian. - BERNAMA

Artikel Lain