suria

Selangor Tetap Beri Peluang PKNS Teruskan Projek Datum Jelatek

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bertegas untuk memberi peluang kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meneruskan projek pembinaan kondominium mewah Datum Jelatek di Jalan Jelatek, Kampung Datuk Keramat.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata bagaimanapun pihaknya akan mengambil kira pandangan dan keraguan penduduk berhubung status pembinaan kondominium itu sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

"Kita telahpun mengadakan perbincangan dengan PKNS dan PKNS juga telah memberi penerangan dan maklumat berhubung pembinaan kondominium ini.

"Melalui perbincangan ini, kerajaan negeri akan tetap memberi peluang kepada PKNS untuk meneruskan projek tersebut...di samping ambil kira kemusykilan masyarakat tempatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat exco negeri di sini, Rabu.

Beliau berkata tapak projek pembinaan kondominium itu juga bukan dilaksanakan di atas tanah rizab Melayu seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Ini bukan kawasan rizab Melayu, saya telah diberitahu oleh PKNS tanah ini adalah tanah milik kerajaan dan perumahan ini akan dijual 70 peratus kepada masyarakat Melayu dan selebihnya untuk lain-lain kaum," katanya.

Projek Datum Jelatek yang bakal dibina di atas tanah seluas 5.5 ekar (2.2 hektar) sebelum ini diuar-uarkan sebagai projek pembangunan semula kawasan perumahan kos rendah di Jalan Jelatek selepas kesemua penduduk yang rata-ratanya orang Melayu telah dipindahkan dengan memberi pampasan yang kecil.

Namun projek itu dikatakan "bertukar" menjadi cadangan pembangunan empat bangunan eksklusif merangkumi pejabat, hotel dan pusat membeli-belah yang disasarkan untuk golongan berpendapatan tinggi dan korporat.

Selain Kampung Baru, kawasan Keramat merupakan satu lagi penempatan Melayu di pinggir bandar raya Kuala Lumpur, yang kian terhimpit dengan arus kemajuan metropolitan.

Sementara itu, mengulas mengenai desakan kira-kira 200 ibu tunggal, suri rumah dan warga emas yang berkumpul di Seksyen 7 pagi tadi bagi menuntut elaun yang dijanjikan pakatan pembangkang semasa pilihan raya umum 2008, Abdul Khalid berkata rakyat Selangor berhak untuk membuat sebarang tuntutan.

"Tiada halangan mana-mana rakyat untuk membuat tuntutan, asalkan mereka ini layak (untuk berbuat demikian), apa-apa pun kita akan membuat semakan terhadap kumpulan ini sebab ada antara mereka yang telah memperolehi bantuan dari zakat (Lembaga Zakat Selangor) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat oleh sebab itu kita tidak mahu ada 'double standard' di situ," tambahnya.

Kumpulan penduduk itu berkumpul secara aman hari ini sebagai meluahkan rasa kesal terhadap kerajaan negeri Selangor 'yang gagal menunaikan janjinya'.

"Selama lima tahun golongan warga emas, ibu tunggal dan suri rumah bagai menanti buah yang tidak gugur, sedangkan mereka amat memerlukan bantuan itu untuk meneruskan hidup," kata Kamaruddin Ahmad, peguam yang mewakili kumpulan penduduk itu.

Antara perkara yang dituntut ialah air percuma, elaun ibu tunggal, caruman takaful warga emas dan bantuan kanak-kanak tadika.

Kamaruddin berkata kumpulan itu akan memfailkan saman terhadap kerajaan negeri berhubung perkara tersebut dalam tempoh terdekat. BERNAMA

Artikel Lain