suria

Penurunan Ketara Indeks Jenayah Sepanjang Tiga Tahun Lepas - MCPF

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) gembira inisiatif yang dilaksanakan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah menyebabkan penurunan ketara indeks jenayah sepanjang tiga tahun lepas.

Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye berkata program kehadiran polis yang disasarkan di kawasan kerap berlaku kejadian jenayah termasuk di pusat membeli-belah serta Program Bandar Selamat yang disertai MCPF, telah membantu menurunkan kadar jenayah.

"Ia juga dicapai melalui pembabitan lebih ramai orang awam dan masyarakat madani yang bekerjasama dengan pihak polis untuk mengurangkan jenayah," katanya dalam kenyataan, Rabu.

Lee mengulas laporan tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, Selasa.

Kadar jenayah di negara ini berkurangan sebanyak 27 peratus sepanjang tiga tahun lepas berikutan komitmen kerajaan bagi memenuhi hasrat rakyat.

Bagaimanapun, Lee mengingatkan lebih banyak perlu dilakukan bagi mencapai penurunan lebih besar kadar jenayah, seperti menyediakan sumber yang diperlukan dan kelengkapan kepada polis meneruskan usaha memerangi jenayah.

Beliau mencadangkan penggunaan teknologi maklumat, pengumpulan maklumat dan penglibatan polis dan orang awam ditingkatkan untuk meningkatkan keberkesanannya membanteras jenayah, selain memperkenalkan langkah inovatif untuk menangani masalah itu.

"Rakyat Malaysia yang berbilang kaum boleh dan harus terlibat secara aktif dalam aktiviti pencegahan jenayah dalam komuniti dan kejiranan mereka," katanya.

Beliau berkata orang ramai perlu menyertai program dan aktiviti pencegahan jenayah yang ditubuhkan persatuan penduduk, organisasi perdagangan atau badan bukan kerajaan untuk meningkatkan kesedaran tentang apa yang boleh dan perlu dilakukan untuk mencegah jenayah.

Beliau berkata objektif utama adalah untuk menanam atau menyemai budaya pencegahan jenayah dalam kalangan anggota masyarakat jadi sesiapa pun tidak harus mengambil mudah tentang aspek keselamatan. BERNAMA

Artikel Lain