suria

GTP, ETP Eksperimen Paling Berani Kerajaan - PM

KUALA LUMPUR: Perancangan dan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) ialah satu eksperimen paling berani kerajaan dalam mengamalkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban terhadap rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata inisiatif yang dilaksanakan di bawah GTP dan ETP, yang masing-masing diperkenalkan pada tahun 2010 dan 2011, turut membuktikan iltizam kerajaan untuk membangunkan negara, dan seterusnya memastikan negara mencapai matlamat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Melalui GTP dan ETP ini rakyat boleh menilai prestasi kerajaan (iaitu) menerusi laporan tahunan dan berkala yang dikeluarkan dari semasa ke semasa," kata beliau dalam blognya www.1malaysia.com Najib membentangkan laporan tahunan GTP dan ETP, Selasa.

Beliau berkata kejayaan yang dicapai juga hasil kerja keras semua pihak, daripada rakyat sehinggalah kepada pihak swasta dan penjawat awam.

"Alhamdulillah, dalam laporan tahunan GTP dan ETP yang saya bentangkan semalam, banyak kejayaan yang telah kita kecapi.

"Kesannya, taraf dan kualiti hidup rakyat menjadi semakin baik, ekonomi negara menjadi semakin berkembang manakala kewangan negara terus kukuh hari demi hari," kata Perdana Menteri.

Najib berkata kecemerlangan prestasi negara ini boleh disaksikan daripada peningkatan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita negara sebanyak 4,000 peratus, daripada hanya AS$257 (RM802) pada 1957 kepada AS$9,970 (RM31,111) pada 2012.

Ia boleh diperjelaskan lagi apabila Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) negara untuk tahun 2012 meningkat kepada RM5,000 daripada hanya RM4,025 pada 2009.

Perdana Menteri berkata selain kadar kemiskinan negara dikurangkan daripada 60 peratus pada tempoh awal kemerdekaan kepada 1.7 peratus pada 2012, inisiatif yang diperkenalkan juga berjaya mengeluarkan kira-kira 100,000 orang rakyat daripada belenggu kemiskinan.

Beliau berkata ini membuktikan setiap apa yang diperkenalkan kerajaan memberi manfaat kepada rakyat di negara ini, sekaligus selari dengan konsep 1Malaysia yang mahu rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.

"Sebab itulah, semasa perbentangan semalam, saya turut mengumumkan yang kerajaan akan menjadikan dan meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai inisiatif tahunan kepada rakyat," katanya.

"Dengan kecemerlangan prestasi negara itu, saya berharap rakyat dapat terus bersama-sama memberi sokongan kepada kerajaan agar setiap apa yang dirancangkan untuk masa depan negara dapat dilaksanakan," kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain