suria

GTP 2.0 Sasarkan Bidang Tumpuan Lebih Khusus

KUALA LUMPUR: Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 akan memberikan penekanan terhadap pengupayaan ekonomi individu dan masyarakat melalui aktiviti kebajikan produktif yang memerlukan pewujudan kemudahan asas dan persekitaran yang sesuai.

Menurut Laporan Tahunan GTP 2012 yang dikeluarkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di bawah Jabatan Perdana Menteri, fokus Bidang Keberhasilan Utama Negara Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah (NKRA LIH) ialah untuk membangunkan pemboleh ekonomi terutama bagi golongan yang mudah terjejas - dengan erti kata lain, mewujudkan persekitaran yang sesuai dalam membolehkan pengupayaan ekonomi - seperti pendidikan, nutrisi dan latihan kemahiran.

Menurut laporan itu, program Akhiri Zaman Miskin (1AZAM) akan meletakkan matlamat yang lebih terperinci dan mengkhususkan negeri dengan mensasarkan daerah yang kurang diberikan perhatian dan memberikan tumpuan yang lebih kepada kawasan bandar.

Di bawah NKRA LIH, pemilihan peserta 1AZAM akan menjadi lebih ketat kerana keutamaan pemilihan akan diberikan kepada peserta yang termasuk dalam satu atau lebih daripada kategori golongan isi rumah miskin tegar dan miskin yang tidak menerima apa-apa bantuan dalam menjana pendapatan dan peserta dari daerah yang mempunyai bilangan golongan isi rumah miskin dan miskin tegar yang tinggi tetapi tanpa bilangan yang sepadan dengan peserta 1AZAM.

GTP 2.0 mensasarkan untuk memastikan semua golongan isi rumah miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan eKasih mempunyai peluang menyertai program 1AZAM sebelum tahun 2015 selain memastikan bahawa keberhasilan peserta 1AZAM yang sedia ada akan ditambah baik.

Pendekatan bagi tempoh tiga tahun akan datang juga akan lebih mengambil pendekatan tertumpu dalam menangani keperluan masyarakat tertentu seperti kira-kira 30 peratus Orang Asli (pribumi) dan 80 peratus masyarakat Penan yang dikelaskan sebagai golongan miskin dan miskin tegar yang belum diberi sokongan mencukupi disebabkan persekitaran dan keadaan mereka.

Berdasarkan kos sara hidup yang meningkat, penekanan yang lebih akan diberikan untuk menyokong golongan miskin bandar terutama warga tua dan golongan gelandangan, di samping memberi tumpuan kepada golongan yang mudah terjejas seperti bekas banduan penjara, orang kurang upaya (OKU), orang tua dan ibu bapa tunggal.

"Di samping itu, dalam usaha untuk menjangkaui individu ini, GTP 2.0 juga akan memberikan sokongan kepada keluarga masing-masing untuk membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan," menurut laporan itu.

Laporan Tahunan GTP 2012 menyebut, Pendidikan Celik Kewangan akan disepadukan dengan program 1AZAM sebagai pemboleh utama untuk membantu isi rumah berpendapatan rendah membuat keputusan ekonomi yang pintar, seterusnya mengeluarkan mereka daripada perangkap kemiskinan.

Dalam usaha mencapai matlamat itu, NKRA LIH akan bekerjasama dengan pelbagai kementerian, badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan NKRA lain yang berkaitan seperti Pembangunan Luar Bandar, Pendidikan dan Pengangkutan Awam Bandar.

Sebagai iktibar yang dipelajari pada tahun 2012, pasukan NKRA LIH telah memulakan beberapa projek perintis untuk inisiatif baharu dalam memperkukuh program 1AZAM, iaitu program celik kewangan, bakul makanan, 'community feeding' dan kerjasama dengan NGO, yang akan diuji untuk mengenal pasti sebarang kelemahan sebelum dilaksanakan dalam tahun 2013.

Menurut Laporan Tahunan GTP 2012, GTP 1.0 membuahkan hasil apabila menyaksikan penurunan dalam jumlah kemiskinan sejak program 1AZAM dilaksanakan, namun sebahagian kecil kemiskinan masih wujud terutama di timur Malaysia, yang terus menjadi cabaran dalam menjangkau golongan yang sangat memerlukan bantuan itu.

NKRA LIH tahun lepas menetapkan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk mendaftar sejumlah 39,600 isi rumah miskin dalam pangkalan data eKasih dan sehingga Disember 2012, sebilangan 43,820 isi rumah berjaya didaftarkan.

Pada tahun 2012, seramai 15,047 peserta 1AZAM berjaya meningkatkan pendapatan mereka iaitu 114 peratus daripada sasaran 2012, manakala seramai 1,200 usahawan wanita berjaya dilatih, berbanding 1,000 yang disasarkan sebelum ini.

Pemilikan rumah memberikan kestabilan dan keselamatan kepada kumpulan kewangan yang lemah dan ia merupakan aktiviti penting NKRA LIH. Justeru, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan sejumlah 35,000 unit rumah untuk dijual kepada penyewa asal, dan pihak Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berjaya memulihkan rumah yang terbengkalai berjumlah 4,865 unit.

Menurut laporan itu, di bawah Program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M), rumah kos rendah disediakan untuk rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan pada tahun 2012, selepas Kementerian Kewangan merubah terma dasar dan pembiayaan pada pertengahan 2012.

Pada tahun 2012, program RMR1M membina 2,010 unit untuk isi rumah miskin berbanding 1,500 unit yang disasarkan. - BERNAMA

Artikel Lain