suria

Ekonomi Dijangka Berkembang Antara 5-6 Peratus Tahun Ini - Zeti

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka kukuh tahun ini, berkembang antara lima hingga enam peratus, diterajui oleh permintaan domestik, peningkatan beransur-ansur dalam sektor luaran dan aktiviti pelaburan yang cergas, kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Faktor-faktor sokongan lain termasuk pertumbuhan teguh dalam permintaan penggunaan sebanyak enam hingga tujuh peratus, pelaburan swasta yang teguh didorong oleh pengembangan kapasiti oleh syarikat berorientasikan domestik dan pelaksanaan berterusan projek dengan tempoh yang lama," katanya pada pelancaran Laporan Tahunan 2012 Bank Negara, Rabu.

Zeti berkata pelaburan oleh perniagaan berorientasikan luaran juga dijangka menjadi lebih tinggi di tengah-tengah peningkatan beransur-ansur dalam permintaan luar, manakala penggunaan swasta dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada separuh kedua tahun.

Di samping itu, perbelanjaan kerajaan akan mencatatkan pertumbuhan lebih rendah memandangkan pengukuhan berterusan kedudukan fiskal kerajaan dan dengan peranan sektor swasta menjadi semakin penting.

Beliau berkata inflasi akan berada pada purata dua hingga tiga peratus tahun ini dengan mengambil kira harga global yang lebih tinggi bagi komoditi makanan terpilih dan pelarasan harga yang diurus domestik.

"Prospek bagi kestabilan kewangan domestik tahun ini kekal positif, disokong oleh asas-asas yang kukuh dalam sistem kewangan Malaysia.

"Walaupun persekitaran luaran dijangka kekal mencabar, potensi risiko kepada kestabilan kewangan domestik akan terutamanya dari kelemahan umum dalam keadaan ekonomi luar yang disebarkan melalui saluran perdagangan," kata beliau.

Zeti berkata sektor kewangan Malaysia pada kedudukan yang baik untuk menghadapi sebarang kesan buruk perkembangan luaran, memandangkan adanya penampan kewangan yang teguh dalam institusi kewangan dan pengaturan institusi yang menyeluruh untuk bertindak balas kepada risiko seluruh sistem. BERNAMA

Artikel Lain