suria

Chua Tidak Nafi Atau Sahkan Dakwaan Letak Jawatan

IPOH: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pada Rabu enggan menafi atau mengesahkan dakwaan yang beliau akan meletak jawatan jika Datuk Seri Ong Tee Keat dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Dr Chua berkata tindakan berkenaan bagi menghormati segala maklumat perbincangan antara beliau dan Perdana Menteri kerana ia sepatutnya tidak dikongsi dengan pihak lain.

"Saya tidak kata itu tidak benar, saya juga tidak kata ia benar, kerana maklumat komunikasi antara perdana menteri dan saya perlu dihormati.

"Semua perbincangan dengan perdana menteri perlu dianggap sebagai maklumat antara beliau dan saya, dan tidak harus diperkongsi dengan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja ke Sekoleh Jenis Kebangsaan (Cina) Phui Ying di Simpang Pulai di sini pada Rabu.

Pada Rabu, sebuah portal berita melaporkan sebuah akhbar berbahasa Cina mendakwa Dr Chua memberitahu mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu semalam bahawa beliau akan meletak jawatan jika BN mengumumkan Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai calon parlimen Pandan.

Sementara itu mengenai veteran DAP Lim Kit Siang yang akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah di Johor, Dr Chua berkata rakyat negeri itu perlu bijak memilih kerana DAP hanya hebat dari segi 'promosi' serta 'pembungkusan' dalam memberi gambaran dan harapan palsu kepada rakyat.

Beliau berkata jika diperhatikan pemimpin DAP itu hanya bertanding dan menang di kawasan majoriti orang Cina sahaja sedangkan mereka melaungkan parti itu sebuah wadah politik berbilang kaum.

Dr Chua berkata sekiranya pembangkang menang di Johor, ekonomi negeri itu akan menjadi lembap dan turun mendadak di mana segala perancangan dan pembangunan akan terjejas termasuk di Iskandar Malaysia dan Pengerang.

Mengenai kedudukannya sebagai calon BN bagi PRU-13, Dr Chua berkata, beliau akan mengumumkan bila tiba masanya.

Terdahulu, ketika melawat dan bertemu pihak pengurusan SJK (C) Phui Ying, beliau berkata MCA akan membantu usaha meraih dana sebanyak RM80,000 yang diperlukan pihak sekolah untuk memperbaiki dan menaiktaraf kemudahannya. BERNAMA

Artikel Lain