suria

GTP Berjaya Kurangkan Kadar Kemiskinan Menerusi Program Keusahawanan

KUALA LUMPUR: Keusahawanan terbukti berjaya membantu golongan berpendapatan rendah keluar dari kepompong kemiskinan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan meningkatkan taraf hidup golongan tersebut.

Pensyarah Ekonomi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Shazali Abu Mansor berkata program keusahawanan di bawah NKRA itu seperti 1AZAM (Akhiri Zaman Miskin) perlu diteruskan bagi membantu golongan miskin tegar keluar dari paras kemiskinan.

"Melalui latihan kemahiran dan keusahawanan yang disediakan terbukti mereka mampu berjaya dan sekaligus usaha kerajaan membasmi kemiskinan melalui keusahawanan ini akan dapat merangsang pertumbuhan ekonomi dalam negara," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Selasa.

Malam Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (GTP) yang antara lain menyentuh kadar kemiskinan berjaya diturunkan daripada lebih enam puluh peratus pada awal kemerdekaan kepada 1.7 peratus pada 2012.

Menurut Laporan Tahunan GTP 2012 terbitan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di bawah Jabatan Perdana Menteri, menerusi program eKasih, seramai 109,050 individu berjaya keluar dari garis kemiskinan hasil daripada pendapatan mereka yang meningkat.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Yayasan Ekonomi Sejagat Zulkefli Mohamad berkata GTP adalah langkah tepat dalam menjadikan negara mencapai status berpendapatan tinggi.

"Laporan itu menunjukkan kementerian terbabit berjaya melebihi sasaran ditetapkan. Ini menunjukkan keikhlasan kerajaan membantu rakyat dan bukan sekadar janji kosong," katanya.

Di bawah NKRA tersebut, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melaksanakan pelbagai program bagi membantu golongan miskin seperti Program 1AZAM, program mengesan golonan miskin eKasih, pembangunan usahawan wanita dan bantuan perumahan kepada golongan berpendapatan rendah. - BERNAMA

Artikel Lain