suria

Pasangan Glamor Khoo & Chai Berpisah

PETALING JAYA: Jutawan Tan Sri Khoo Kay Peng dan bekas Miss Malaysia Pauline Chai yang pernah menjadi pasangan glamor dan popular suatu ketika dulu, telah berpisah.

Khoo, yang disenaraikan oleh Forbes sebagai salah seorang daripada 50 lelaki terkaya di Malaysia, merupakan hartawan peruncitan dan hotel, memiliki 40 peratus kepentingan dalam jenama antarabangsa, Laura Ashley manakala Chai merupakan Miss Malaysia/International 1969.

Chai, 66, membuat petisyen perceraian di London bulan lalu atas alasan "tingkah laku yang tidak munasabah", selepas 43 tahun perkahwinan dengan pengerusi dan ketua eksekutif Kumpulan Malayan United Industries.

Khoo dan Chai berkahwin pada tahun 1970 dan mempunyai lima anak yang telah dewasa.

Khoo, 74, merupakan pengarah Hotel Corus Limited di Britain dan juga dikatakan menjadi penganut Kristian yang setia.

Menurut 'The Times Law' Britain, mahkamah British boleh menganugerahkan Chai sehingga RM2.375 bilion (500 juta pound), menjadikannya nilai penyelesaian perceraian terbesar dalam sejarah Britain.

Difahamkan, perbicaraan awal sepatutnya dilakukan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Peguam Chai, Ayesha Vardag berkata anak guamnya telah membina rumah di England dan berhak menggunakan undang-undang Inggeris dalam kes perceraian mereka.

"Undang-undang Inggeris berfungsi berdasarkan pembahagian aset 50-50, melainkan terdapat sebab untuk menyimpang daripada prinsip itu," katanya.

Khoo dan Chai hidup mewah, dengan pemilikan hartanah di Malaysia, England, Australia dan Kanada.

Mereka membeli sebuah ladang di Hertfordshire, yang terletak di utara Greater London pada tahun 1998, yang kosnya dianggarkan bernilai RM141 juta.

Menurut laporan, ladang itu kemudiannya menjadi rumah mewah keluarga pasangan tersebut.

Artikel Lain