suria

KWSP Umum Senarai Institusi Pengurusan Dana, Unit Amanah 2013/2014

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menerbitkan senarai Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan dana unit amanah bagi tahun 2013/2014 untuk Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA-KWSP).

Senarai itu berkuat kuasa untuk tempoh 1 April 2013 hingga 31 Mac 2014, kata Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, senarai dana itu dikaji semula setiap tahun berdasarkan set kriteria penilaian untuk kelayakan, penggantungan dan kemasukan semula dana seperti yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Proses ini dijalankan bersama Persekutuan Pengurus-Pengurus Pelaburan Malaysia (FiMM) yang mewakili industri unit amanah.

"Ia adalah untuk kepentingan ahli, dan memberikan keyakinan kepada mereka bahawa dana yang ditawarkan mengikut skim ini memiliki rekod prestasi yang konsisten,” kata Nik Affendi.

Sejumlah 206 dana unit amanah daripada 25 IPD layak ditawarkan menerusi SPA-KWSP, berbanding 218 dana pada tahun 2012/2013.

KWSP mencadangkan ahli supaya mengkaji sendiri prospektus dana secara terperinci dan menilai merit serta mengenal pasti risiko yang terlibat sebelum membuat keputusan untuk mengambil bahagian,” katanya.

Ahli KWSP boleh merujuk kepada laman web myEPF untuk menyemak senarai penuh dana menerusi setiap IPD yang dipilih, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain