suria

Kerajaan Punya Pelbagai Perancangan Untuk Kaum India - PM

KLANG: Kerajaan pusat mempunyai pelbagai perancangan untuk kaum India, terutama di Selangor, khususnya dalam mempertingkat taraf pendidikan dan ekonomi mereka, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata antara usaha yang akan diteruskan adalah dalam bidang pendidikan, termasuk mengadakan kelas tadika di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil secara berperingkat serta mempertingkat pengambilan kaum itu di institusi pengajian tinggi dan perkhidmatan awam.

Di Selangor pula, kerajaan mengenal pasti tapak untuk pembinaan sebuah tempat pembakaran mayat di Kapar dengan pelan pembangunan sedang disediakan, katanya pada majlis BN Pilihan Rakyat anjuran MIC di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru di Kapar hari ini, yang dihadiri lebih 50,000 orang.

Najib berkata kerajaan juga memberi peruntukan RM300,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Jenis Kebangsaan Methodist Kapar untuk menyediakan kemudahan bilik air dan padang, sementara kerja ujian tanah sedang dilaksana bagi pembinaan bangunan tambahan empat tingkat untuk sekolah itu.

Beliau berkata jika BN kembali memerintah Selangor pada pilihan raya umum ke-13 ini, satu lagi 'Little India' akan wujud di Jalan Tengku Kelana di sini, seperti yang dilakukan di Brickfileds, Kuala Lumpur, selain berusaha menyelesaikan masalah perumahan pekerja ladang Bukit Raja.

Najib berkata janji BN ini adalah untuk ditepati, bukan seperti parti pembangkang yang tidak menepati janji.

Malah, katanya, manifesto pakatan pembangkang yang dilancarkan baru-baru ini tidak menyatakan program khusus yang diadakan oleh parti politik PKR-DAP-PAS untuk masyarakat India.

"Rakyat perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada penduduk Kampung Buah Pala, Pulau Pinang yang menyaksikan kerajaan negeri tidak membantu mereka dalam mempertahankan tanah mereka," katanya.

Najib, yang turut teruja dengan kehadiran kaum India yang begitu ramai, berkata peningkatan sokongan masyarakat India hari ini memberi harapan cukup cerah bagi BN untuk merampas kembali Selangor daripada parti gabungan PKR-DAP-PAS pada pilihan raya kali ini.

Beliau berkata kehadiran lebih 50,000 iaitu melebihi 40,000 orang yang dianggar penganjur, memberi keyakinan kepadanya Putrajaya akan terus kekal ditadbir BN.

Najib berharap rakyat akan terus memberi mandat kepada beliau memandangkan ini adalah pilihan raya umum pertama di bawah pimpinannya sebagai Perdana Menteri supaya beliau dapat meneruskan tugas mengurus negara dengan perubahan yang besar. -BERNAMA

Artikel Lain