suria

Keldai Dadah Warga India Ditahan di Pahang

KUANTAN: Sebelum ini sering dilapor warga Iran yang cuba menyeludup dadah melalui negara ini, tetapi kini nampaknya giliran warga India pula yang membawa masuk dadah ke negara ini terutama menerusi lapangan terbang domestik.

Telah dilapor sebelum ini keldai dadah warga India sama ada lelaki atau wanita cuba membawa masuk dadah terutama ketamin menerusi lapangan terbang di Terengganu dan Kedah.

Hari ini pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) memberitahu seorang lagi wanita warga India dilapor cuba menyeludup ketamin menerusi Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS) di sini Khamis lepas.

Pengarah KDRM Pahang, Datuk Sarip Ismail berkata warga India yang berusia 49 tahun itu ditahan di LTSAS pada 1.30 petang dan ditemui dalam bagasinya lima kilogram ketamin bernilai RM175,000.

Suspek dipercayai baharu tiba dari Kolkata, India sebelum transit di Singapura dan seterusnya ke Kuantan, katanya kepada pemberita.

Suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. -BERNAMA

Artikel Lain