suria

Dakwaan Fitnah Isu Lahad Datu: Umno Fail Saman Terhadap Tian Chua

PETALING JAYA: Umno memfailkan saman terhadap Anggota Parlimen Batu dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua berhubung kenyataan fitnahnya ke atas Umno dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Saman itu ekoran kenyataan yang diterbitkan oleh KeadilanDaily.com bertarikh 1 Mac 2013 dalam artikel yang bertajuk “Insiden Tembakan Di Lahad Datu Konspirasi Terancang Umno – Tian”.

Writ saman itu diserahkan kepada Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang bersama dua defendan lagi iaitu Editor KeadilanDaily.com Fazallah Pit dan penulis artikel berkenaan, Aisha Geoffrey.

Menurut writ saman itu, Umno sebagai plaintif, menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi keterlaluan dan/atau teladan, faedah dan kos serta lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif juga memohon injunksi untuk menghentikan defendan mengeluarkan lagi kenyataan seumpamanya, dan memohon perintah supaya defendan membuat pernyataan maaf.

Saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan oleh Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusof menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak pada 14 Mac lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh pengurusan kes pada 11 April depan.

Pada 14 Mac lalu, Tian Chua dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini dengan pertuduhan menyebut perkataan menghasut menerusi empat kenyataan berhubung isu di Lahad Datu.

Bagaimanapun, Tian Chua mengaku tidak bersalah.

Artikel Lain