suria

Dakwaan Fitnah: Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Dijangka Mohon Maaf Pada MB S'gor

KUALA LUMPUR: Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dijangka akan mengeluarkan permohonan maaf kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam mahkamah terbuka pada Selasa.

Ini berikutan penyelesaian oleh kedua-dua pihak berhubung saman fitnah yang difailkan Khalid terhadap SPRM dan dua lagi mengenai dakwaan salah guna kuasa.

Perkara itu dinyatakan di hadapan Hakim, Lau Bee Lan dalam kamar mahkamah pada Isnin.

Khalid memberitahu pemberita di luar Mahkamah Tinggi di sini bahawa SPRM menerusi bekas ketua pesuruhjayanya, akan membuat permohonan maaf pada Selasa.

Peguam Kanan Persekutuan, Noorin Badaruddin mewakili defendan manakala peguam S. N. Nair mewakili Khalid.

Pada 27 April 2009, Khalid memfailkan saman terhadap Ahmad Said, SPRM dan kerajaan kerana kenyataan fitnah bahawa beliau menyalahgunakan kuasa beliau sebagai Menteri Besar.

Dalam samannya, Khalid mendakwa bahawa satu kenyataan oleh Ahmad, dalam kapasitinya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, dalam satu sidang media pada 20 Februari 2009, bahawa SPRM mempunyai bukti untuk menunjukkan Khalid menyalahgunakan kuasannya berhubung penyelenggaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu untuk sebuah majlis Hari Raya Aidiladha bagi kawasan parlimen Bandar Tun Razak, sebagai satu kenyataan berbaur fitnah.

Khalid memohon injunksi untuk menghentikan defendan mengeluarkan lagi kenyataan seumpamanya di mana beliau mendakwa ia menimbulkan kebencian awam terhadapnya dan menjejaskan reputasinya.

Beliau turut berkata, SPRM bertindak di luar bidang kuasanya dan atas tindakan tersebut, telah melampaui kuasa dan fungsi Peguam Negara.

Dalam pembelaannya, Ahmad menyatakan bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang pernyataan fitnah terhadap Khalid yang menjejaskan repurtasi Menteri Besar itu.

Dalam satu kenyataan pembelaan yang difailkan pada 31 Julai 2009, Ahmad berkata, beliau mempunyai hak dan tanggungjawab di bawah undang-undang serta tugas moral dan/atau sosial untuk mengeluarkan kenyataan yang melibatkan kepentingan awam.

Artikel Lain