suria

BN Yakin Menang PRU-13 Dan Terus Tadbir Negara - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Biarpun bakal berhadapan dengan cabaran besar pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti, Barisan Nasional(BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin menang dan terus mentadbir negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang Timbalan Pengerusi BN dan Umno berkata, keyakinan itu diambil kira berdasarkan persediaan yang begitu rapi dan tersusun parti komponen BN, selepas hilang majoriti dua pertiga pada PRU-12.

Katanya, selain anggota komponen BN yang telah disuntik semangat kerja berpasukan, persatuan-persatuan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan sukarelawan turut berganding bahu dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN, sekali gus merampas negeri-negeri yang hilang kepada pembangkang pada PRU-12.

"Situasi kini umumnya bertambah baik. Banyak pakar-pakar, 'think tank' (kumpulan pemikir) dan penganalisis berkata BN akan menang. Mereka mesti ada fakta dan perkiraan. Saya melihat bahawa trendnya bertambah baik.

"Jangkaannya, kita (BN) boleh dapat pertahankan kedudukan kita. Cuma kita nak perkukuhkan di kawasan-kawasan tumpuan," katanya ketiba berucap pada majlis dialog PRU-13 untuk Wilayah Persekutuan anjuran bersama Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan, Veteran Umno Wilayah Persekutuan dan Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan Wilayah Persekutuan.

Selain itu, katanya, pembaharuan dan transformasi yang giat dilakukan kerajaan dalam usaha menjamin masa depan rakyat dan negara ternyata disedari dan diterima rakyat secara terbuka.

Muhyiddin berkata, sebagai pemimpin berwawasan tinggi, Najib sememangnya sedar pembaharuan secara menyeluruh dan holistik membabitkan semua lapisan masyarakat perlu dilaksanakan bagi mempertahankan dasar dan pembangunan kerajaan yang dibina sejak negara mencapai merdeka lagi.

"Kita nak mempertahankan ini kerana kita telah membentuk sebuah negara yang boleh dikatakan aman, selamat dan telah maju untuk satu tempoh yang panjang. Mungkin tidak mudah untuk membandingkan mana kah negara-negara lain yang telah mencapai tahap kejayaan dan kecemerlangan seperti Malaysia," katanya.

Dalam menghadapi PRU-13, Muhyiddin yang juga anggota Parlimen Pagoh mahukan pemimpin dan anggota BN di semua peringkat memberikan sokongan padu kepada calon yang diputuskan pucuk pimpinan parti kelak.

Menyedari kekuatan dan cabaran besar daripada parti pembangkang, beliau berkata, BN akan membariskan calon yang boleh menang dan munasabah, namun sokongan padu amat diperlukan supaya tidak timbul masalah yang boleh menggugat peluang BN untuk menang.

"Yang paling penting bagi kita ialah kalau keputusan (mengenai calon) sudah dibuat (oleh Perdana Menteri selaku Pengerusi BN) maka pihak pimpinan di peringkat bahagian itu bersedia menerima itulah calon dan tidak menimbulkan isu dan permasalahan sehingga berbalah sesama sendiri...dia boleh membantu memenangkan calon itu dengan cara yang lebih baik" katanya. - BERNAMA

Artikel Lain