suria

Pelajar Tahun Satu Dikhuatiri Lemas di Sandakan

SANDAKAN: Keriangan sembilan sahabat pulang dari sekolah berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki terbalik di kawasan perairan berhampiran Pulau Berhala petang Sabtu.

Noor Suhana Jusly, pelajar tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Papat II di sini, belum ditemui sehingga kini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.20 petang dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Empat anggota, termasuk seorang pegawai, memulakan operasi mencari dan menyelamat seawal 6 pagi tadi bersama APMM, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Polis Marin," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Beliau berkata operasi itu terpaksa dihentikan petang tadi kerana keadaan laut yang bergelora.

Difahamkan, semua pelajar berkenaan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri kelas ganti di sekolah mereka.

Sementara itu, Guru Besar SK Tanjung Papat II Azmi Musa berkata pelajar itu dipercayai lemas selepas jaket keselamatannya terapung tanpa kelibat mangsa. "Perjalanan dari sekolah ini ke kampung tersebut mengambil masa 20 minit dengan perjalanan sejauh 3.9 kilometer," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain