suria

Cendekiawan Islam Sedia Tubuh Badan Penasihat Khasb BN Untuk Tadbir Kelantan

KOTA BAHARU: Sekumpulan cendekiawan Islam sedia menubuhkan sebuah badan penasihat khas kepada Barisan Nasional (BN) Kelantan untuk mentabir negeri itu secara Islamik jika berjaya menubuhkan kerajaan di negeri itu pada pilihan raya umum ke 13.

Prof Emeritus Datuk Dr Mahmud Zuhdi Abdul Majid berkata beliau dan rakan-rakannya akan memberi nasihat "bagaimana nak tubuh kerajaan Islam yang bersifat lebih rasional daripada biasa berasaskan kepada lima perkara pokok".

"Lima perkara pokok itu adalah memberi nasihat berdasarkan al-Quran dan sunnah, realiti semasa, pandangan terhadap keutamaan yang dikehendaki Islam, objektif syariat, dan konsep keadilan dalam pemerintahan," kata Dekan Fakulti Pengajian Ilmu Wahyu dan Pengajian Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa itu.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Multaqa Mahabbah Ulama dan Intelektual Islam Peringkat Negeri Kelantan di sini, Ahad.

Majlis itu dihadiri seramai 4,800 guru agama seluruh Kelantan dan dirasmikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mahmud Zuhdi mendakwa kerajaan PAS Kelantan telah gagal melaksanakan kaedah pemerintahan secara Islam di negeri itu. Beliau menyifatkan pentabiran PAS Kelantan tidak ada bezanya dengan pentadbiran BN di negeri-negeri lain.

"Para cendekiawan Islam telah bersepakat yang mereka langsung tidak melihat konsep kepimpinan Islam secara kolektif di Kelantan, dan apa yang berlaku, ialah mengharapkan pada satu tokoh semata-mata yang banyak mengikut telunjuk pihak tertentu untuk kepentingan pihak lain dalam berpolitik.

"Ini satu kesalahan di Kelantan yang ikut telunjuk seorang sahaja sedangkan orang lain ambil kesempatan dari kejujuran itu tetapi kebijaksanaan cita-cita itu tidak ada.

"Saya tidak mahu manyalahkan orang Kelantan tetapi harapan itu sebenarnya telah dikecewakan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain