suria

BN Sentiasa Iktiraf Golongan Muda -MB Perlis

KANGAR: Barisan Nasional (BN) sentiasa mengiktiraf golongan muda kerana mereka juga bakal menjadi penentu masa depan negara, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Pengerusi BN Perlis itu berkata golongan muda akan terus diberi pengiktirafan dan menikmati pelbagai kemudahan kerana kerajaan yang diterajui B Nsentiasa mengotakan janji.

Berucap pada majlis pelancaran kempen keamanan Puteri Umno Perlis di Dataran Tasik Melati hari ini, beliau berkata golongan muda juga bertanggungjawab mengekalkan keamanan negara.

Md Isa, yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, berkata langkah Puteri Umno menganjurkan kempen itu dengan slogan 'Bersatu Pertahan Kedaulatan Negara' menggambarkan keprihatinan golongan muda terhadap keamanan negara.

Sempena pelancaran itu, Md Isa turut melepaskan konvoi bermotosikal membabitkan ratusan anggota Puteri Umno menjelajah Perlis sambil membawa mesej keamanan.

Ketua Puteri Umno Perlis Asmaiza Ahmad berkata kempen keamanan itu bertujuan memupuk semangat patriotisme di kalangan generasi muda selain menzahirkan simpati kepada anggota keluarga perwira negara yang terkorban ketika mempertahan kedaulatan negara di Lahad Datu, Sabah.

Beliau berkata semangat perwira negara seharusnya diteladani generasi muda untuk sama-sama berkongsi semangat untuk mempertahan negara daripada sebarang bentuk pencerobohan.

Katanya, nilai keamanan adalah amat tinggi kerana negara tidak aman akan menyingkir keharmonian yang selama ini dinikmati rakyat negara ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis Sabry Ahmad, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Santan. -BERNAMA

Artikel Lain