suria

Penjenayah Pecah, Bakar ATM di Kota Kemuning Sebelum Larikan RM87,000

SHAH ALAM: Sekumpulan penjenayah bertindak nekad memecah dan membakar sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di dalam sebuah pasar raya di Kota Kemuning sebelum melarikan wang tunai kira-kira RM87,000.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata dalam kejadian yang dipercayai berlaku awal pagi ini, kumpulan penjenayah itu menggunakan gas Oxy-acetylene untuk memecah mesin ATM bagi mengambil wang tunai di dalamnya.

"Kita menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.30 pagi daripada orang awam yang memaklumkan pasar raya terbabit dipecah masuk, dan mesin ATM turut dipecah dan dibakar," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata wang daripada mesin ATM itu berjaya dilarikan kumpulan penjenayah terbabit namun wang di kaunter pasar raya berkenaan selamat.

Zahedi berkata siasatan turut mendapati kumpulan penjenayah terbabit menyembur cat gelap pada kamera kawalan litar tertutup (CCTV) di premis itu sebelum melakukan rompakan serta bertindak melarikan rakaman CCTV berkenaan.

Beliau berkata polis percaya kumpulan itu terdiri antara dua hingga tiga orang, dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti suspek yang terlibat.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-5520 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran. -BERNAMA

Artikel Lain