suria

Pasukan Keselamatan Cadang Bersihkan Penempatan Haram, Perangi Anasir Negatif Di Semporna

SEMPORNA: Pasukan keselamatan mencadangkan penempatan haram di beberapa kampung di daerah ini dibersihkan bagi memastikan kawasan itu bebas daripada anasir keganasan dan aktiviti haram seperti penyeludupan senjata api dan dadah.

Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata antara perkampungan air yang dicadangkan ialah Kampung Simunul, Kampung Halo, Kampung Panji dan Kampung Bangau-Bangau.

"Ini merupakan cadangan kita yang akan dimasukkan dalam laporan Kawasan Keselamatan Pemerintahan Timur Sabah (Esscom)," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Langkah jangka panjang ini bermatlmat menjadikan daerah Semporna sebagai hab pelancongan di Sabah, seterusnya menangkis segala anasir keganasan dan unsur jenayah sehingga ke peringkat akar umbi, katanya.

Beliau berkata pasukan keselamatan turut mencadangkan penempatan baharu diwujudkan buat penduduk tempatan.

Mohd Firdaus berkata pihak keselamatan juga akan mencadangkan kepada jawatankuasa Esscom agar mengharamkan penggunaan bot pam yang menggunakan enjin kuasa tinggi dan boleh dinaiki maksimum dua orang, kepada penduduk tempatan.

"Ini bagi memudahkan pihak keselamatan membuat pemantauan terhadap aktiviti penduduk, jika mereka menggunakan bot pam ia menyukarkan pihak keselamatan, kerana bot itu sangat laju," katanya.

Beliau berkata cadangan itu selaras dengan usaha pihak keselamatan untuk membanteras anasir negatif di beberapa perkampungan itu seperti penyeludupan dan mengawal kehadiran pendatang asing.

Beliau berkata selepas insiden berdarah yang mengorbankan enam anggota pasukan keselamatan di Kampung Simunul 2 Mac lepas, polis melalui unit Cawangan Khas mendapati terdapat unsur pengganas di beberapa penempatan haram di perkampungan itu. BERNAMA

Artikel Lain