suria

KPDNKK Patah Cubaan Seleweng Diesel Subsidi

BINTULU: Cubaan untuk menyeleweng diesel subsidi dengan mengisi minyak diesel sebanyak dua kali sehari berjaya dihidu dan dipatahkan dengan penahanan seorang lelaki rakyat tempatan serta rampasan bernilai RM38,000 di sebuah bengkel di Jalan Sungai Nyigu.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata dalam serbuan melibatkan sembilan pegawai penguatkuasa dari Putrajaya dan Kuching itu, sejumlah 10,000 liter minyak diesel bernilai RM18,000 dan sebuah lori seberat 15 tan bernilai RM20,000 dirampas.

"Suspek berusia 39 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut," katanya kepada Bernama sambil menambah kegiatan penyelewengan terbongkar apabila lori itu mengisi diesel subsidi di depo minyak dua kali sehari.

"Diesel subsidi tersebut sepatutnya dihantar ke Belaga, Kapit dan selalunya tempoh masa perjalanan dari Bintulu ke Belaga adalah antara tujuh hingga 10 jam, namun lori ini mampu mengisi dua kali sehari," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati diesel subsidi itu dijual kepada industri di Bintulu, dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Lain