suria

Tidak Perlu Dialog Khusus Dengan Filipina Untuk Bincang Isu Lahad Datu - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia tidak perlu mengadakan dialog khusus dengan Filipina bagi membincangkan isu di Lahad Datu, Sabah.

Ini kerana kata beliau, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman telah menjelaskan secara terperinci berhubung isu pencerobohan pengganas Sulu kepada semua diplomat asing termasuk Setiausaha Luar Filipina baru-baru ini.

"Saya tak fikir adalah perlu kita membuat dialog sebegitu. Kita uruskan hal-hal sebegini menerusi saluran diplomasi.

"Kita ada menteri kita yang sudahpun mengadakan perbincangan dengan pihak menteri luar, Setiausaha Luar Filipina berkaitan dengan soal ini," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan penerima Anugerah Sastera Negara ke-12, di sini, Jumaat.

Beliau mengulas saranan media Filipina agar Malaysia dan negara itu mengadakan dialog berbincang mengenai isu tersebut termasuk situasi terkini.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata negara luar boleh menghubungi Wisma Putra bagi mendapatkan maklumat terperinci tentang situasi dan perkembangan terkini di Lahad Datu.

Menyentuh isu lain, Muhyiddin berkata filem "Tanda Putera" arahan Datin Paduka Suhaimi Baba masih tidak boleh ditayangkan kepada umum.

"Ia tidak akan ditayangkan kepada khalayak umum tetapi kepada kumpulan-kumpulan tertentu sahaja. Bagi saya ia diputuskan oleh pihak yang bertanggungjawab.

"Saya pun telah menyaksikan untuk bagaimana hasil karya ini dan apakah kesannya, tetapi kita memutuskan buat sementara ini tidak sesuai untuk ditayangkan di pawagam-pawagam," katanya ketika ditanya bila filem berkenaan akan ditayangkan kepada umum.

Filem itu mengisahkan peranan bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein dan Timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman memulihkan negara selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Penangguhan penayangan filem tersebut diputuskan Jemaah Menteri tahun lepas kerana terdapat babak yang tidak bersesuaian dan dikhuatiri boleh menimbulkan konflik dalam kalangan masyarakat di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain