suria

Suami Isteri Maut, Anak Cedera Dalam Nahas Babit Empat Kenderaan

IPOH: Sepasang suami isteri maut manakala dua anak mereka parah apabila kereta mereka terbabit dalam kemalangan dengan tiga kenderaan lain di Km53 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Tapah pagi Jumaat.

Zainol Romli, 62, meninggal di tempat kejadian manakala isterinya Sarimah Salleh, 38, meninggal kira-kira pukul 4 petang di Hospital Tapah.

Mereka berasal dari Langkawi, Kedah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Som Sak a/l Din Keliaw berkata kereta Perodua Kancil yang dinaiki mangsa yang datang dari arah Tapah menghala Kampar dikatakan secara tiba-tiba merempuh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi.

"Kereta yang dinaiki mangsa berpusing selepas melanggar lori berkenaan dan pada masa yang sama sebuah kereta Perodua Myvi yang turut datang dari arah Tapah melanggar kereta mangsa.

"Sementara lori tersebut terbabas ke kanan jalan dan terbalik melintangi jalan dan dilanggar pula sebuah pacuan empat roda jenis Hilux yang tidak sempat mengelak," kata Som Sak.

Pemandu dan penumpang tiga kenderaan itu hanya cedera ringan. -BERNAMA

Artikel Lain