suria

SPAD Digesa Pantau Permit Syarikat Teksi, Elak Kejadian Samun & Rogol Penumpang

KUALA LUMPUR: Persatuan teksi di Kuala Lumpur dan Selangor menggesa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memantau permit teksi syarikat bagi mengelak kejadian jenayah rogol dan samun penumpang yang dilakukan pemandu teksi.

Wakil persatuan teksi Lim Yoke Shiuam, 57, berkata kejadian jenayah itu berlaku berikutan syarikat teksi tidak meneliti maklumat peribadi pemandu sama ada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kami dengan ini meminta SPAD dan pihak polis memantau dan mengambil tindakan terhadap sesetengah golongan pemandu teksi di sekitar Lembah Klang," katanya di sini.

Lim yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Wilayah Persekutuan berkata antara kesalahan yang sering dilakukan sesetengah pemandu teksi ini adalah tidak menggunakan meter dan meter yang tidak mengikut kadar sebenar.

Malah, katanya terdapat kes individu yang berpura-pura menjadi pemandu teksi untuk menyamun penumpang dengan merampas teksi daripada pemilik asal.

"Mereka (pemandu teksi palsu) ini akan menukar nombor plat teksi tersebut untuk melakukan jenayah. Mereka juga berani menggunakan kereta biasa yang diubah suai menjadi teksi, untuk melakukan jenayah," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar permit teksi diberikan kepada individu kerana mereka lebih bertanggungjawab menanggung sebarang masalah berbanding diuruskan syarikat.

Lim juga menggesa SPAD menarik balik lesen mana-mana syarikat teksi jika terbukti mereka melanggar undang-undang.

Kes jenayah terbaharu mengaitkan pemandu teksi, apabila polis Selangor menahan seorang lelaki berusia 47 tahun di Jalan Klang Lama, kira-kira 5 pagi pada Rabu, selepas dipercayai merogol seorang wanita warga Amerika Syarikat di suatu lokasi di Sungai Pelek, Sepang selepas menaiki teksi lelaki terbabit, Isnin lepas.

Wanita berusia 20-an itu menaiki teksi berkenaan dari sebuah pusat membeli-belah di Mutiara Damansara, dekat sini sebelum disamun dan dirogol lelaki terbabit. -BERNAMA

Artikel Lain