suria

Ramai Model Dakwa Diperdaya 'Kasanova Tidak Kacak'

KUALA LUMPUR: Dia digambarkan sebagai "pendek, berkulit gelap, kurus dan tidak kacak" tetapi ini tidak menghalang 'Kasanova' ini daripada memperdaya model-model glamor untuk mengadakan hubungan seks dengannya.

Lelaki itu, yang antaranya dikenali sebagai "DKDK Choong", "Alvin Choong", "Ray Choong" dan "Derek Choong", menarik perhatian model-model wanita dengan pendapatan lumayan sebelum meniduri dan mencuri barangan mereka.

Walau bagaimanapun, perbuatannya sejak dua tahun lalu ini mungkin akan berakhir selepas model sambilan dan bekas finalis Miss Malaysia Leng Yein, 28, menggunakan Facebook untuk memberi amaran kepada orang ramai tentang cara-cara penipuannnya.

Leng, yang mendakwa telah diganggu oleh seorang lelaki berkata lebih daripada 50 wanita dan lelaki telah memberi respons terhadap 'posting' beliau dalam masa seminggu dengan dakwaan mereka juga menjadi sasaran lelaki terbabit.

"Lelaki-lelaki itu adalah jurugambar yang telah ditipu olehnya dengan memberikan nombor telefon model-model. Dia memberitahu mereka bahawa dia juga seorang jurugambar yang memerlukan model untuk merakamkan gambar.

"Ramai wanita mendakwa dia mencuri wang dan telefon bimbit dari beg tangan mereka selepas pertemuan mereka di bilik-bilik hotel.

"Dia kemudiannya berulang kali menghubungi mereka dan mengancam untuk menyiarkan gambar bogel mereka di Internet," katanya di Jabatan Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini, Khamis.

"Apa yang paling menyakitkan hati saya apabila dia telah menipu beberapa wanita untuk mengadakan hubungan seks dengannya sebelum menghilangkan diri.

"Namun, dia terus mengganggu mereka di telefon," kata Leng, sambil menambah adakalanya lelaki itu tidak akan mengadakan pertemuan tetapi akan mengganggu wanita-wanita dengan panggilan dan mesej teks.

Beberapa mangsa, katanya, telah membuat laporan polis terhadap seorang lelaki yang mereka katakan sebagai "pendek, berkulit gelap, kurus dan tidak kacak".

Leng ditemani model sambilan Cookies Yap, jurugambar Jawsus Cheng dan Phillip Lee yang mendakwa mempunyai pengalaman dengan lelaki itu.

Ketua Jabatan Datuk Seri Michael Chong menggesa mangsa lain untuk tampil ke hadapan, sambil menambah mereka yang telah membuat laporan perlu menghantar kepadanya satu salinan di [email protected].

"Kita akan menyusun laporan dan bekerjasama dengan pihak polis untuk menangkap lelaki ini," katanya.

Artikel Lain