suria

PM Sampai Sumbangan, Surat Penghargaan Kepada Keluarga Dua Wira Terkorban

KOTA BAHARU: Datuk Seri Najib Tun Razak yang melakukan lawatan kerja sehari ke Kelantan turut meluangkan masa bertemu keluarga dua anggota tentera yang terkorban dalam Operasi Daulat di Sabah.

Perdana Menteri bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor, menemui keluarga Allahyarham Kpl Ahmad Hurairah Ismail dan Allahyarham Kpl Ahmad Farhan Ruslan dalam satu majlis di Masjid As-Solihin Kem Briged Kelapan Infantri, Pengkalan Chepa di sini, petang Jumaat.

Najib turut menyerahkan sumbangan peribadinya serta surat penghargaan sebagai mengenang jasa kedua-dua wira negara tersebut kepada anggota keluarga mereka.

Ahmad Hurairah dari Kampung Bayu Lalang, Pasir Mas, terkorban dalam pertempuran dengan pengganas di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, Sabah.

Sementara Ahmad Farhan dari Perumahan Desa Darulnaim II, Pasir Tumboh di sini, pula terkorban dalam kemalangan jalan raya di Km 37 Lahad Datu-Tungku ketika menghantar makanan untuk anggota keselamatan dalam operasi itu. Pada majlis itu, Rosmah sebagai Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) turut menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada setiap keluarga terbabit. Sumbangan disampaikan Rosmah kepada Rahmah Mamat, 50, ibu Allahyarham Ahmad Hurairah dan Ruslawati Ghani, 44, ibu Allahyarham Ahmad Farhan.

Terdahulu, Rosmah bersama 300 isteri anggota tentera dari kem tersebut melakukan solat hajat, bacaan yassin dan tahlil di masjid berkenaan.

Sementara itu, Rahmah melahirkan terima kasih dan kesyukurannya dengan sumbangan itu dan turut melahirkan rasa terharu apabila Perdana Menteri dan isteri sanggup meluangkan masa bertemu dengannya bagi menyampaikan ucapan takziah. -BERNAMA

Artikel Lain