suria

Penubuhan RCI, Kertas Putih Penting Siasat Penglibatan Pihak Ketiga - Shafie Apdal

NIBONG TEBAL: Penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI) dan membuka kertas putih bagi menyiasat dakwaan penglibatan pihak ketiga dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu penting untuk memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata siasatan secara mendalam terhadap dakwaan itu perlu dijalankan untuk mengenal pasti siapa yang terlibat. "Ini perkara yang amat penting. Keselamatan negara kita tidak boleh diambil ringan. Jangan hari ini berlaku, esok lagi berlaku. Kalau kita tak hentikan dalang-dalang seumpama ini, yang akan merana ialah semua rakyat," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan jeti nelayan Sungai Udang yang bernilai RM1.5 juta dan menyampaikan elaun sara hidup kepada 748 nelayan, di sini Jumaat.

Mohd Shafie berkata siasatan mendalam dan menyeluruh perlu dijalankan kerana tempias insiden pencerobohan akan turut dirasai bukan sahaja penduduk kampung, malah para peniaga. Katanya RCI atau membuka kertas putih penting bagi menyiasat dakwaan bahawa terdapat pihak yang menjadi dalang di sebalik insiden pencerobohan.

Mohd Shafie berkata beliau pasti insiden di Lahad Datu itu dapat diselesaikan secepat mungkin kerana kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Serahkan kepada pihak polis dan pasukan tentera. Saya pasti ia (insiden Lahad Datu) akan diselesaikan segera," katanya.

Katanya, amat penting untuk meyakinkan rakyat mengenai insiden pencerobohan itu agar mereka tidak dipergunakan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mohd Shafie berkata kerajaan pusat akan mempertimbang untuk memberi bantuan kepada para nelayan dan usahawan yang terjejas berikutan insiden di Lahad Datu.

Katanya perkara ini telah dibincangkan bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk membantu masyarakat yang berdepan masalah di kawasan Lahad Datu, Semporna dan Kunak. -BERNAMA

Artikel Lain