suria

Pelan Pembangunan Pendidikan Bukti Kerajaan Serius Tingkatkan Taraf Sekolah Ikut Piawaian Antarabangsa

MUAR: Langkah menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) ialah usaha serius kerajaan untuk memastikan pencapaian semua sekolah di negara ini setara atau melebihi piawaian di peringkat antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata usaha itu mencakupi semua sekolah dan bukan hanya sekolah kebangsaan seperti tanggapan segelintir pihak.

"Ada beranggapan Pelan Pembangunan Pendidikan ini seperti memberi tumpuan kepada sekolah kebangsaan sahaja, mungkin kerana ia lebih besar.

"Hakikatnya pelan itu juga melibatkan sekolah jenis kebangsaan termasuk Cina dan Tamil agar dapat dipertingkat tarafnya termasuk sekolah mubaligh dan sekolah agama," kata Muhyiddin yang juga menteri pelajaran ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Parlimen Pagoh di sini pada Jumaat.

Majlis turut dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Ketua Wanita Umno Pagoh Senator Noriah Mahat dan anggota dewan undangan negeri Bukit Serampang, Datuk Tahir Ta'at.

Muhyiddin berkata usaha ke arah itu merupakan satu cabaran dan lebih bebanan kerja memandangkan ia memerlukan kecekapan dan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi.

Dalam masa yang sama, katanya, pihak guru dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG)perlu menjalankan tanggungjawab untuk membolehkan apa yang dirancang dalam PPPM disempurnakan dengan sebaiknya.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga anggota Parlimen Pagoh menyerahkan kelengkapan sukan dan meluangkan masa menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Tan Sri Muhyiddin Yassin di padang sekolah berkenaan.

Beliau selepas itu turut menghadiri majlis penyerahan bas sekolah dan sambutan ulangtahun ke-111 Sekolah Tinggi Muar di sini. -BERNAMA

Artikel Lain