suria

Mangsa Pencerobohan Lahad Datu Dijangka Terima Wang Ehsan Minggu Depan - MKN

LAHAD DATU: Penduduk tempatan yang menjadi mangsa akibat insiden pencerobohan pengganas Sulu dijangka menerima bantuan wang ehsan RM1,000 bagi setiap keluarga mulai minggu hadapan, menurut Majlis Keselamatan Negara.

Setiausahanya Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata bancian telah dilakukan bagi menentukan jumlah sebenar penduduk yang terjejas dalam krisis pencerobohan yang layak menerima bantuan itu.

Beliau berkata MKN kini dalam proses saringan bagi menentukan hanya mereka yang benar-benar terjejas sahaja diberikan bantuan.

"Daripada lebih 2,000 penduduk yang terjejas, separuh daripada mereka adalah kanak-kanak. Maka kita jangkakan lebih kurang 500 keluarga layak menerima bantuan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini," katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Kerajaan pada Selasa lepas mengumumkan tiga bentuk bantuan untuk penduduk kampung yang terjejas dalam Operasi Daulat berikutan insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo dan Tanjung Batu di sini.

Tiga bantuan itu ialah pemberian bantuan ehsan wang tunai RM1,000 kepada setiap keluarga, bantuan pembinaan semula rumah yang musnah dengan kos setiap rumah RM50,000 serta pembaikan kecil untuk rumah yang rosak, dan penjadualan semula bayaran pinjaman kepada penduduk yang berniaga dan meminjam daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (Tekun Nasional) dan Amanah Ikhtiar.

Mohamed Thajudeen berkata hanya warganegara yang layak menerima bantuan wang ehsan itu. Katanya bagi bantuan pembinaan semula kediaman yang dimusnahkan penceroboh, pihaknya kini masih meneliti status pemilikan tanah mangsa yang terlibat.

Beliau berkata pihaknya perlu menentukan sama ada tanah yang diduduki mangsa adalah milik mereka atau kerajaan negeri atau Felda.

"Jika tanah itu bukan milik mereka ia lebih senang bagi kita untuk membuat projek perumahan di satu penempatan yang baharu dan tersusun. Jika tanah itu milik mangsa, maka rumah yang musnah akan diberikan bantuan seperti yang diumumkan baru-baru ini," katanya.

Mengenai pendidikan kepada anak-anak mangsa yang tercicir selama tiga minggu, Mohamed Thajudeen berkata hanya Dewan Serbaguna Embara Budi menyediakan khemah sebagai kelas sementara untuk mereka meneruskan pembelajaran.

Manakala tiga lagi penempatan sementara iaitu Dewan Serbaguna Cenderawasih, Fajar Harapan dan Gemala Pura, kesemua mereka dihantar ke sekolah berhampiran.

MKN juga menyediakan keperluan pembelajaran kepada anak mangsa pencerobohan termasuk buku, alat tulis dan pengangkutan.

Sejak pencerobohan, pasukan keselamatan menembak mati 56 musuh, manakala lapan anggota polis dan dua tentera gugur. - BERNAMA

Artikel Lain