suria

BN Mengalu-Alukan Wong Tack Tanding Kerusi Parlimen Bentong - Adnan Yaakob

BENTONG: Barisan Nasional (BN) Pahang mengalu-alukan hasrat pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack untuk bertanding di kerusi Parlimen Bentong atas tiket DAP pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata Wong Tack terpaksa menghadapi penyandang Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang berwibawa dan diterima masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

"Niat Wong Tack untuk bertanding atas tiket DAP bertentangan dengan prinsip Himpunan Hijau sendiri, malah ada anggota mendesak beliau meletakkan jawatan pengerusi organisasi itu. "Pengundi sudah tentu dapat menilai kebaikan dan ketokohan Liow (Tiong Lai) yang telah memberi khidmat terbaik kepada masyarakat dan pengundi di Parlimen Bentong," katanya yang juga Pengerusi BN Negeri.

Adnan, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangi, berkata demikian kepada pemberita selepas majlis mesra kasih warga DUN Pelangai di Felda Kemasul di sini, Jumaat. Beliau berkata Liow, yang juga Menteri Kesihatan, mampu mempertahankan kerusi Parlimen Bentong dengan majoriti yang lebih besar berdasarkan reputasinya dan kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Wong Tack telah menggunakan Himpunan Hijau untuk mempopularkan diri sendiri dengan menentang projek Lynas sedangkan dia 'ada udang di sebalik batu'. "Orang ramai akan menilai keikhlasan dan niat pengerusi Hijau itu untuk bertanding di Parlimen Bentong iaitu kawasan kubu kuat parti MCA," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata BN Pahang tidak mengamalkan formula peratusan muka lama dan muka baharu dalam pemilihan calon asalkan calon yang dipilih itu boleh menang.

"Sasaran utama BN Pahang ialah untuk memenangi semua 42 kerusi DUN dan 14 Parlimen di negeri ini," katanya.

Beliau yakin BN dapat merampas dua kerusi Parlimen - Kuantan dan Indera Mahkota serta empat kerusi DUN - Triang, Tras, Kuala Semantan dan Beserah yang dimenangi pembangkang pada PRU 2008 memandangkan angin perubahan politik kini berpihak kepada BN. -BERNAMA

Artikel Lain