suria

Seluruh Jentera Penerangan Umno Digerak Jelas Isu Semasa - Ahmad Maslan

KOTA BAHARU: Jentera penerangan Umno digerakkan untuk menjelaskan kepada rakyat agar tidak terpedaya dengan manifesto pembangkang yang merupakan manifesto fatamorgana atau khayalan, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata jentera penerangan akan memberi penjelasan dari sudut ilmiah yang mudah difahami rakyat dan berdasarkan maklumat Kementerian Kewangan, manifesto pembangkang jika dilaksanakan boleh menghancurkan negara ini.

"...mirage (khalayan) ini berlaku di padang pasir waktu panas apabila kita melihat semacam ada air di hadapan, kepada orang yang haus dan dahaga lantas pergi ke tempat itu apabila tiba di tempat itu tidak ada oasis atau takungan air, ia hanyalah khayalan, ia hanya merupakan bayangan kepanasan padang pasir, pantulan cahaya seolah-olah ia ada air...itulah manifesto pakatan pembangkang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat kepada penceramah penerangan negeri Kelantan di sini, Khamis.

Ahmad berkata penceramah terbabit juga akan menjelaskan isu lain termasuk isu kalimah suci Allah dan pencerobohan militan di Lahad Datu, Sabah, agar rakyat tidak terus diperdaya dengan pelbagai tohmahan pembangkang.

Beliau berkata penceramah terbabit juga akan menjelaskan kepada rakyat pelbagai inisiatif yang dilakukan kerajaan untuk membantu semua golongan rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Sementara itu, Ahmad mencadangkan kepada rakyat negeri ini yang tidak berpuas hati dengan kegagalan kerajaan PAS Kelantan menunaikan janjinya dalam manifesto pilihan raya lalu, supaya memfailkan saman di mahkamah.

Beliau berkata Umno Kelantan boleh menimbang untuk membantu mereka memfailkan saman tersebut.

Katanya kerajaan Selangor sudah disaman lebih 11,000 rakyat dari pelbagai lapisan kerana kegagalan menunaikan manifesto pilihan raya 2008. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5 Telco Disaman

Artikel Lain