suria

PM Pergiat Usaha Pada Peringkat Akhir Menjelang PRU-13

KUALA LUMPUR: Pada peringkat akhir -merupakan jawapan yang diberikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak apabila ditanya mengenai tarikh pilihan raya umum akan datang.

Seperti mana-mana ‘pelumba’, Perdana Menteri telah merancakkan lagi rentak ‘pecutan’ ke arah garisan penamat dengan memperbanyakkan lagi acara dalam diari beliau yang sudah pun penuh dengan pelbagai aktiviti.

Ini bagi memastikan beliau dapat memenuhi semua perkara asas dari isu-isu negara kepada menangani masalah penting yang berkaitan dengan pemilihan calon.

Difahamkan, beliau mengambil masa antara acara pada setiap hari untuk berjumpa dengan mereka yang akan digugurkan atau tidak dipilih sebagai calon.

Setiap langkah beliau diteliti berikutan negara mengharapkan pengumuman bilakah pilihan raya umum akan dilakukan.

Dalam perjumpaan mingguan beliau dengan Yang di-Pertuan Agong pada Rabu mula menimbulkan cakap-cakap bahawa beliau menghadap Baginda bagi mendapatkan perkenan untuk membubarkan Parlimen.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengumuman mengenainya dibuat pada masa ini.

Dikatakan bahawa ia sekadar taklimat mingguan Perdana Menteri kepada Baginda mengenai isu-isu yang menjejaskan negara selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

Kini timbul spekulasi secara meluas mengenai tarikh 25 Mac yang mana beliau akan mendapatkan perkenan Baginda untuk membubarkan Parlimen.

Difahamkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan berakhir pada 27 Mac dan Najib kemungkinan tidak akan membenarkan ia terbubar dengan sendirinya kerana akan meninggalkan kesan yang tidak baik kepada parti pemerintah.

Hari ini (Khamis), beliau akan merasmikan Kompleks Pakar dan Pusat Rawatan Harian (SCACC) Hospital Kuala Lumpur.

Beliau kemudian akan membuat lawatan ke Kelantan di mana Barisan Nasional(BN) dikatakan akan memberikan saingan sengit kepada kerajaan PAS.

Pada Jumaat, beliau akan menyertai makan malam dengan masyarakat Cina di Seremban di mana beliau berharap untuk meningkatkan peluang BN bagi menawan semula kerusi-kerusi yang telah jatuh di tangan pembangkang.

Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri yang dipegang oleh BN yang tidak mempunyai majoriti dua pertiga.

Pada Sabtu, beliau dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyertai beratus ribu wanita di Putrajaya untuk Perhimpunan Ungu Jutaan Wanita bagi menyambut Hari Wanita Antarabangsa.

Menteri Besar dan Ketua Menteri akan mengetuai perhimpunan yang sama di negeri masing-masing.

Pada sebelah malamnya, beliau akan menghadiri satu majlis dengan masyarakat India di Klang yang mana Selangor juga merupakan tempat yang dilawatinya banyak kali dalam usaha untuk merampas semula negeri itu daripada Pakatan Rakyat.

Bagi minggu yang berikutnya, jadual Najib sekali lagi dipenuhi dengan beberapa acara yang penting.

Yang pertama adalah pada Isnin (18 Mac) apabila beliau akan mengumumkan Laporan Tahunan Pemandu di mana majlis itu akan mendapat liputan “secara langsung” oleh kebanyakan stesen televisyen tempatan.

Ia akan menjadi “kad laporan” bagi negara untuk menilai pencapaian beliau sejak mengambil alih jawatan perdana menteri kira-kira empat tahun lalu.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, memberitahu penonton televisyen pada Selasa lalu bahawa ekonomi Malaysia adalah kukuh dan memberikan lonjakan dalam aliran global.

Pada suku terakhir, Malaysia mencapai pertumbuhan 6.4% - sekaligus, menunjukkan kedudukan ekonomi yang kukuh.

"Apabila kita bercakap tentang faedah kepada rakyat dari 2009 hingga 2011, Pendapatan Kasar Negara per kapita telah berkembang daripada AS$6,670 kepada AS$9,970 (RM20,715 kepada RM30,965) iaitu kira-kira 49%," katanya dalam satu wawancara di TV3.

Difahamkan bahawa pada 23 Mac, Najib akan menghadiri majlis makan malam amal untuk sekolah persendirian Chung Hwa.

Majlis itu khabarnya akan turut dihadiri oleh bintang aksi antarabangsa, Jackie Chan.

Najib dijangka menggunakan kesempatan itu untuk mengumumkan beberapa "berita baik" mengenai masa depan pendidikan Cina.

Dari situ, beliau akan beralih kepada siri jelajah "Janji Ditepati" yang terakhir yang akan diadakan di padang majlis perbandaran Kuantan.

Jelajah Janji Ditepati akan melibatkan Najib dengan beberapa acara untuk menyerlahkan pencapaian pentadbiran beliau selaras dengan janji-janji yang dibuat beliau apabila mengambil alih jawatan perdana menteri pada 3 April 2009.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5 Telco Disaman

Artikel Lain