suria

Pengundi Tidak Hadir Perlu Ambil Sampul Keutamaan di Pejabat Perwakilan Malaysia - SPR

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan kepada Pengundi Tidak Hadir (PTH) untuk mengambil Sampul Keutamaan yang mengandungi kertas undi masing-masing di Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, pengundi dalam kategori itu ialah anggota tentera yang berkhidmat di luar negara dan pasangan, penjawat awam yang bertugas di perwakilan Malaysia di luar negara dan pasangan, dan pelajar yang sedang menuntut sepenuh masa di luar negara dan pasangan.

Jelasnya, PTH diminta melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my untuk memilih Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara bagi membolehkan Sampul Keutamaan dihantar ke pejabat perwakilan yang dipilih.

"PTH diminta untuk mengemas kini maklumat seperti memilih pejabat perwakilan Malaysia, alamat tempat tinggal, e-mel dan nombor telefon sehingga pada tarikh pembubaran," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Menurutnya, jika terdapat PTH yang tidak mengisi maklumat itu atau maklumat tersebut diisi selepas tarikh pembubaran Parlimen, SPR akan menghantar Sampul Keutamaan terus ke Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara.

Kamaruddin berkata bagi negara yang mempunyai satu sahaja Pejabat Perwakilan Malaysia, Sampul Keutamaan akan dihantar ke Pejabat Perwakilan di negara berkenaan.

"Bagi negara yang mempunyai lebih daripada satu Pejabat Perwakilan Malaysia, Sampul Keutamaan akan dihantar ke salah satu Pejabat Pewakilan yang paling hampir dalam negara berkenaan berdasarkan alamat PTH yang ada pada SPR," katanya.

Beliau berkata bagi Sampul Keutamaan yang mempunyai alamat yang tidak lengkap ke negara yang mempunyai lebih daripada satu Pejabat Pewakilan Malaysia, sampul itu akan dihantar ke Pejabat Perwakilan yang terletak di ibu negara berkenaan.

Sementara negara yang tidak mempunyai Pejabat Perwakilan Malaysia, Sampul Keutamaan akan dihantar ke salah satu Pejabat Pewakilan yang paling hampir dengan negara tersebut.

Kamaruddin berkata, selepas Hari Penamaan Calon, PTH akan dimaklumkan melalui e-mel dan laman sesawang SPR mengenai tarikh dan masa penyerahan Sampul Keutamaan yang mengandungi Kertas Undi Pos di Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara. "PTH perlu hadir ke Pejabat Perwakilan Malaysia yang berkenaan untuk mengambil sendiri Sampul Keutamaan itu. Wakil tidak dibenarkan untuk mengambil sampul tersebut," katanya.

Menurutnya lagi, apabila PTH menerima Sampul Keutamaan dan membuat penandaan pada kertas undi pada hari penyerahan kertas undi, PTH boleh mengembalikan Sampul B yang mengandungi Kertas Undi ke dalam Karung Khas SPR untuk dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus di Bahagian Pilihan Raya yang berkaitan.

Namun, beliau berkata, sekiranya PTH mengambil Sampul Keutamaan selepas hari penyerahan atau mengembalikan Sampul B selepas tarikh dan masa yang ditetapkan, PTH dikehendaki menguruskan sendiri urusan penghantaran balik Sampul B yang mengandungi kertas undi ke Pejabat Pegawai Pengurusan Bahagian Pilihan Raya yang berkaitan.

"Kos untuk membuat urusan itu ditanggung oleh PTH itu sendiri," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5 Telco Disaman

Artikel Lain