suria

Pekerja Binaan Maut Terjatuh Dari Tingkat 24 Pangsapuri

GEORGE TOWN: Seorang pekerja binaan maut selepas terjatuh dari tingkat 24 sebuah pangsapuri yang sedang dalam pembinaan di Lebuh Tengku Kudin, Gelugor dekat sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Ismail Toh Paduka Idris berkata dalam kejadian pukul 10 pagi itu, Loh Zhi Hao, 19, sedang memasang bingkai aluminium di balkoni sebuah daripada unit pangsapuri berkenaan sebelum tergelincir dari tempat dia berdiri.

"Mangsa berasal dari Gurun, Kedah, baru 10 bulan datang ke Pulau Pinang dan bekerja dengan sebuah syarikat aluminium di Bayan Lepas di sini," katanya kepada pemberita.

Ismail berkata polis tidak mengesyaki sebarang unsur perlakuan jenayah sehingga menyebabkan kematian Loh dan siasatan awal mendapati dia tidak memakai tali keselamatan sewaktu kejadian itu berlaku.

Katanya mayat remaja itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang dan telah dituntut anggota keluarganya.

Sementara itu, ibu mangsa Ng Bee Kim, 52, yang ditemui di rumah mayat menyifatkan anak tunggalnya itu sebagai seorang yang pemurah dan kuat bekerja.

"Sejak kematian suami ketika umur anak setahun saya membesarkannya seorang diri. Dia memang budak baik. Tahun Baharu Cina lepas satu pertiga bonus miliknya diberi kepada saya. Tidak tahulah bagaimana nak teruskan hidup tanpanya," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5 Telco Disaman

Artikel Lain