suria

Manifesto Pembangkang Terengganu Umpama 'Janji Manis'

KUALA TERENGGANU: Beberapa penduduk Terengganu menyifatkan manifesto pembangkang negeri ini umpama 'janji manis kekasih' pasangan yang bercinta dan yakin pembangkang, terutama PAS, tidak akan mampu melaksanakannya.

Amir Burhanuldin ketika ditemui Bernama berkata apa yang ditawarkan oleh pembangkang dalam manifesto itu sudah pun dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

"Sebagai contoh, untuk pendidikan, pembangkang berjanji akan menambah sekolah menengah agama negeri di setiap daerah dan memberi geran tahunan kepada sekolah agama rakyat serta pusat pengajian pondok. "Semua itu sudah pun dilaksanakan oleh BN Terengganu, malah Terengganu sekarang muncul kuasa baharu dalam bidang pendidikan di Malaysia," katanya.

Ketika BN berusaha membangunkan ekonomi negeri dan menarik pelabur asing supaya taraf sosioekonomi rakyat semakin baik dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, PAS cuba menjanjikan 17,000 pekerjaan dalam tempoh tiga tahun sekiranya parti itu berjaya menawan Terengganu pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Tawaran pekerjaan itu ialah satu daripada 10 manifesto PAS yang termasuk lima perkara lama yang diumumkan pada 2010.

Mohamad Ghazali Ismail, 41, dari Hulu Terengganu pula berpendapat cukuplah sekali beliau merasai pemerintahan di bawah PAS selama sepenggal dari tahun 1999 hingga 2004.

"Selama lima tahun itu, apa sumbangan PAS terhadap Terengganu. Sekarang ni pula, musim rakyat Selangor saman-menyaman kerajaan negeri Selangor..sebab apa?, sebab merana duduk bawah Pakatan.

"Sudah-sudahlah tu, pembangkang janganlah lagi berjanji bulan dan bintang, bagaikan kekasih yang berjanji 1001 cerita, tapi bila dah dapat, sudah perintah negeri, mereka gagal melaksanakan janji sendiri," katanya.

Khatijah Mohamad, 43, dari Dungun berkata penduduk Terengganu secara keseluruhannya sudah selesa berada di bawah pemerintahan BN kerana kebajikan rakyat terbela, malah Terengganu satu-satunya negeri yang memiliki pelbagai dana khas untuk rakyatnya sendiri.

"Pelbagai bantuan disalurkan BN kepada rakyat Terengganu dalam aspek kesihatan, ekonomi dan kebajikan yang membuktikan BN cemerlang selama ini dan manifesto yang saya baca tadi langsung tak memberi apa-apa makna kepada saya. "Prinsip saya, senang sahaja, kalau BN sudah buktikan kecemerlangan mereka, buat apa kita nak ambil risiko mempercayai pembangkang yang sehingga kini gagal mentadbir dengan baik," kata Khatijah.

"Menteri Besar Terengganu baru-baru ini turut menasihatkan pembangkang supaya tidak lagi terus menipu rakyat dengan janji-janji manis mereka.

Ketika memerintah Terengganu dahulu, PAS bertindak membiarkan sahaja cukai pintu berlonggok di dalam stor di pejabat tanah dan daerah tanpa menghantarnya kepada penduduk. Akhirnya bayaran itu menjadi tunggakan.

"Malah, implikasi daripada tindakan tidak berasas pembangkang ketika itu menyebabkan mereka tiada sumber pendapatan yang mencukupi.

"Ia mengakibatkan kerajaan PAS gagal membayar elaun lebih masa kepada kakitangannya yang bertugas selepas waktu pejabat terutama kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan yang membersih sampah-sarap di kawasan perbandaran masing-masing," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5 Telco Disaman

Artikel Lain