suria

Fiesta Belon Panas Pada 28-31 Mac di Putrajaya

Skrin menayangkan antara bentuk belon udara panas yang bakal memeriahkan Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya ke-5 pada majlis pra pelancaran fiesta itu di Perbadanan Putrajaya di Putrajaya pada Khamis.-Foto BERNAMA
Skrin menayangkan antara bentuk belon udara panas yang bakal memeriahkan Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya ke-5 pada majlis pra pelancaran fiesta itu di Perbadanan Putrajaya di Putrajaya pada Khamis.-Foto BERNAMA
Skrin menayangkan antara bentuk belon udara panas yang bakal memeriahkan Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya ke-5 pada majlis pra pelancaran fiesta itu di Perbadanan Putrajaya di Putrajaya pada Khamis.-Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Lebih 20 belon udara panas dari 14 negara akan menghiasi ruang udara Putrajaya sempena Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2013 dari 28 Mac hingga 31 Mac di Monumen Alaf Baru di Presint 2, di sini.

Belon udara panas dari negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Belgium, Jerman, Sepanyol, Poland, Australia, Jepun, Thailand dan Vietnam akan menghiasi ruang udara Putrajaya, diterbangkan pengendali belon udara panas terkemuka pada fiesta kali ke-5 selama empat hari itu bertema "1 World, 1Malaysia and 1 Fiesta".

Pengunjung ke fiesta akan berpeluang menyaksikan belon udara panas berbentuk monyet, badut, kucing dan karakter kartun terkenal - The Smurf and Buzzy.

Tahun ini, fiesta itu juga akan menyaksikan kemunculan semula acara "night glow" yang menjadi topik hangat dan ditunggu-tunggu yang akan diadakan pada malam 30 Mac (Sabtu) yang memaparkan acara belon udara panas dinyalakan mengikut alunan muzik dengan acara kemuncaknya pertunjukan bunga api.

Fiesta tahunan itu dianjurkan bersama oleh AKA Balloons Sdn Bhd dan Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF), disokong oleh Perbadanan Putrajaya. Tiada bayaran masuk akan dikenakan kepada pengunjung ke fiesta itu.

Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat berkata fiesta itu yang kini masuk tahun kelima, membuktikan komitmen Perbadanan Putrajaya dan AKA Balloons Sdn Bhd dalam memastikan kejayaan acara itu dan mencapai objektif menjadikan Putrajaya sebagai venue berkelas dunia bagi acara antarabangsa.

"Kami menjangkakan lebih 300,000 pengunjung ke fiesta selama empat hari itu," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran acara itu di sini, Khamis.

Pengerusi Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya, Mohammed Sobri Saad berkata fiesta itu telah meletakkan Malaysia di peta antarabangsa bagi acara belon udara panas.

"Sejak acara pertama Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya pada 2009, Malaysia telah menjadi semakin popular sebagai destinasi Asia dalam kalangan komuniti belon udara panas," katanya.

Sobri berkata belon udara panas akan berlepas ke udara sebanyak dua kali sehari dari 7 pagi dan 6 petang pada ketinggian tidak lebih 304.8m (1,000 kaki) dan dalam radius 5km dari tapak acara.

Katanya fiesta itu juga akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan popular seperti pameran para-motor, naik helikopter, naik belon panas dari 7.30 pagi hingga 10.30 pagi dan dari 7 malam hingga 10 malam setiap hari, pertunjukan model belon panas dan sesi bertemu pakar belon panas dan 'Mountain Dew Extreme Zone'. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5 Telco Disaman

Artikel Lain