suria

Dua Pegawai APMM Didakwa Kemuka Elaun Perjalanan Palsu

KUALA LUMPUR: Dua pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan elaun perjalanan yang mengandungi butiran palsu, dua tahun lepas.

Mohammad Faizal Marzuki, 34, didakwa mengemuka dua resit tuntutan bayaran sewa Hotel Citiview Kuantan, Pahang berjumlah RM6,720 bertarikh 28 Feb dan 21 Mac 2011 sedangkan dia tidak menginap di hotel itu pada tarikh berkenaan.

Tertuduh, yang ketika itu bertugas sebagai Leftenan Maritim, didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat APMM Putrajaya pada 28 Mac 2011.

Sementara itu, Pegawai Waran 11 Maritim, Jaafar Ishak, 45, didakwa mengemuka dua resit bagi bayaran sewa hotel yang sama berjumlah RM5,460 bertarikh sama.

Jaafar didakwa melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh yang sama dengan Mohammad Faizal mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mereka turut berdepan pertuduhan pilihan iaitu menggunakan dokumen palsu dalam urusan membuat tuntutan elaun perjalanan mengikut Seskyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurdiyanah Mohd Nawawi menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan memohon kedua-dua kes dibicarakan bersama.

Bagaimanapun, Mohammad Faizal dan Jaafar memohon jaminan dikurangkan kerana mereka perlu menyara keluarga.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 April depan untuk sebutan.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua kes dibicarakan bersama. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5 Telco Disaman

Artikel Lain