suria

BSN Lantik Pengerusi Baru

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) mengumumkan pelantikan Tan Sri Abu Bakar Abdullah sebagai Pengerusinya, bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 30 Jun 2009.

BSN dalam satu kenyataannya berkata, Abu Bakar merupakan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, dilantik oleh Menteri Kewangan, akan berkhidmat sebagai Pengerusi BSN untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Mac 2013.

"Pihak pengurusan yakin Abu Bakar dengan pengalaman beliau yang luas di sektor kerajaan akan membantu pihak pengurusan mencapai matlamat untuk menjadikan BSN institusi perbankan yang berdaya maju," kata kenyataan itu pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, Abu Bakar memulakan kerjaya beliau pada tahun 1977 di Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri sebagai Penolong Pengarah perdagangan dalam Negeri, jawatan yang telah dipegang beliau sehingga tahun 1982.

"Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Industri Kereta Motor sehingga 1986.

"Beliau seterusnya telah berkhidmat di Kementerian Pertahanan sehingga tahun 2001," kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu menambah, pada tahun 2001, Abu Bakar telah dilantik sebagai Setiausaha Bahagian Pembangunan Perancangan Lembah Klang di bawah Jabatan Perdana Menteri dan tiga tahun kemudian iaitu pada tahun 2004 telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan.

"Beliau telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan pada 2007 sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 2010," kata kenyataan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

5 Telco Disaman

Artikel Lain