suria

Trafik Sesak Di Kajang, Lebuhraya Persekutuan Akibat Hujan Lebat, Angin Kencang Dan Pokok Tumbang

PETALING JAYA: Hujan lebat dan angin kencang pada waktu petang dua hari berturut-turut menyebabkan beberapa batang pokok di sepanjang jalan-jalan utama di sini tumbang dan mengakibatkan kesesakan trafik.

Seorang jurucakap jabatan bomba dan penyelamat Selangor berkata, mereka menerima beberapa panggilan tentang pokok yang tumbang pada Rabu.

"Kami menerima panggilan tentang pokok tumbang di sepanjang Lebuh Raya Persekutuan menuju susur keluar Seputeh.

"Kami juga telah dimaklumkan mengenai beberapa pokok tumbang di sepanjang lebuh raya Grand Saga Kajang-Cheras," katanya sambil menambah tiada kecederaan atau berlaku kerosakan kenderaan.

Pada Selasa, hujan lebat dan angin kencang di Kuala Lumpur menyebabkan pokok tumbang di Kampung Baru yang membawa kepada kematian seorang wanita asing.

Dalam ribut itu, wanita berusia 52 tahun itu tidak dapat diselamatkan daripada kecederaan beliau selepas sebatang pokok besar menghempap rumah setinggannya kira-kira pukul 4.39 petang.

Lebih 27 kereta turut rosak akibat pokok tumbang disebabkan angin kencang di seluruh bandar.

Lembaga Lebuhraya Malaysia memberi jaminan kepada pemandu bahawa pokok-pokok yang tumbang di sepanjang KM20.9 dan KM21.7 Kajang-Cheras telah dibersihkan.

Turut dinyatakan bahawa pokok yang tumbang di sepanjang Lebuhraya Persekutuan juga telah dialihkan, tetapi trafik masih merangkak.

Artikel Lain