suria

Tiada Keperluan Libatkan Negara Asean Tangani Isu Lahad Datu - Anifah

PUTRAJAYA: Pada masa ini, tiada keperluan bagi Malaysia untuk melibatkan negara Asean dalam membantu menangani isu pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata, Malaysia menghormati hal ehwal dalam negara dan tidak akan mencampuri hal dalaman negara-negara Asean lain.

"Saya tidak fikir pada ketika ini untuk melibatkan negara-negara Asean lain," katanya pada sidang media selepas taklimat khas Kementerian Luar kepada para diplomat antarabangsa mengenai isu Lahad Datu di Wisma Putra di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Malaysia akan mendapatkan bantuan daripada negara-negara Asean lain dalam menangani isu di Lahad Datu.

Bagaimanapun, Anifah berkata, sebagai negara jiran dan anggota kepada Asean adalah sebaik-baiknya untuk memberi penjelasan mengenai perkembangan dan pelaksanaan yang dilakukan oleh Malaysia berhubung insiden yang berlaku di Lahad Datu.

"Semalam (Selasa) saya pergi ke Brunei untuk memberi penjelasan mengenai isu Lahad Datu kepada Sultan Brunei (Sultan Hassanal Bolkiah) di mana Brunei kini merupakan pengerusi kepada Asean.

"Dan baginda menerima penjelasan itu. Saya memberitahu baginda bahawa pada masa ini belum ada lagi keperluan (bantuan) untuk diperbincangkan kerana kita (Malaysia) sedang menangani situasi ini," katanya.

Dalam pada itu, Anifah berkata, Kerajaan Malaysia menyifatkan situasi yang berlaku di Lahad Datu sebagai suatu "serangan pengganas" yang mana ia melibatkan akta keselamatan dan jenayah.

Jelasnya, kerajaan akan berterusan mengambil apa jua tindakan yang munasabah bagi memastikan penceroboh ini akan dibawa ke muka pengadilan.

"Pengganas akan berhadapan dengan tindakan undang-undang mengikut undang-undang Malaysia, di mana menyamai standard undang-undang antarabangsa," katanya.

Beliau menambah, dalam menjalankan operasi seperti Op Daulat, kerajaan bukan sahaja mematuhi jaminan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan tetapi juga mengikut standard hak asasi manusia antarabangsa.

"Kerajaan juga komited memegang prinsip dalam Piagam Asean dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean.

"Dalam menangani pengganas (Sulu), Malaysia turun mengambil tindakan dan pendekatan yang mematuhi undang-undang hak asasi manusia dan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan sepenuhnya," katanya.

Artikel Lain