suria

Polis Johor Dapat Petunjuk Kes Rompakan Seorang Kontraktor

JOHOR BAHARU: Polis Johor mendapat beberapa petunjuk dalam siasatan mereka berhubung kes rompakan ke atas seorang kontraktor di Gombak, Selangor, Khamis lalu.

"Kita dapat beberapa petunjuk. Tiada tangkapan dibuat setakat ini," kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff kepada pemberita selepas menerima sumbangan lebih daripada RM100,000 bagi Tabung Kebajikan PDRM untuk wira negara yang terkorban di Lahad Datu, di sini, Rabu.

Beliau berkata kes itu adalahluar biasa kerana suspek menculik lelaki itu di Taman Setia Indah di sini dan membawanya sehingga ke Gombak sebelum ditinggalkan di sana.

Mokhtar menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah tertipu dengan individu yang mendakwa mereka anggota polis kerana mereka berhak meminta kad waran, berwarna biru untuk pegawai, kuning untuk anggota pangkat rendah dan putih bagi sukarelawan simpanan polis.

Semalam, mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Ho, diculik dari sebuah kedai mendandan rambut di Taman Setia Indah di sini sebelum dibawa ke Gombak, Selangor. Kedua-dua suspek memberitahu mangsa dia ditangkap kerana disyaki memiliki dadah apabila bersemuka dengan mereka di kedai itu.

Mereka melarikan kereta mangsa dan barangan kemas kesemuanya bernilai RM92,000. -BERNAMA

Artikel Lain