suria

Pembangkang Tiada Semangat Patriotik - Ahmad Maslan

KANGAR: Para pemimpin parti pembangkang tidak mempunyai semangat patriotik dan sikap buruk mereka boleh mengundang kehancuran kepada negara, kata Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan.

Menurutnya, mereka bukan sahaja tidak menunjukkan sikap untuk berjuang menentang musuh negara malah ketika pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan negara di Sabah, mereka menganggap ia sebagai satu sandiwara.

Pemimpin pembangkang langsung tidak kelihatan di Lahad Datu sejak peristiwa pencerobohan rakyat asing itu dikesan 9 Februari lalu, katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan jentera penerangan Umno seluruh Perlis di sini, Rabu.

Sebelum pencerobohan itu, mereka kerap berulang alik ke Sabah tapi kini tidak lagi dan sikap itu menggambarkan bahawa mereka cuba mengesahkan kepada rakyat bahawa apa yang sedang berlaku adalah satu sandiwara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, 10 anggota pasukan keselamatan terkorban termasuk seorang yang terkorban kerana kemalangan jalan raya dan angka itu amat besar.

Katanya, jika kematian kerana mempertahankan negara itu dianggap satu sandiwara maka mereka terbukti tidak mempunyai semangat patriotisme kepada negara.

Anggota Parlimen Pontian itu juga berharap tindakan tegas diambil ke atas penulis blog dan penyiar media maya yang menghina anggota-anggota keselamatan yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara di Sabah.

"Bukan sahaja Tian Chua (Naib Presiden PKR) tetapi mereka yang menghina dan memperlekeh anggota keselamatan melalui ruang media maya patut dikenakan tindakan," katanya.

Mengenai pertemuan dengan jentera penerangan Umno, beliau berkata, ia bertujuan meningkatkan keupayaan para penceramah itu menyampaikan dasar kerajaan dan apa yang telah kerajaan lakukan untuk kepentingan rakyat.

"Kita nak tunjuk report card (kad laporan) kepada rakyat tentang janji yang telah dilaksanakan dan apa yang telah dibuat untuk kebajikan rakyat," katanya.

Beliau berkata, setiap bahagian Umno perlu mempunyai sekurang-kurangnya 10 penceramah tetapi Perlis yang mempunyai tiga bahagian Umno telah mengemukakan jumlah penceramah yang lebih besar.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Anggota Parlimen Arau, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad. -BERNAMA

Artikel Lain