suria

Peguam Negara Minta Cadangan Pertingkat Standard Graduan Undang-Undang

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail meminta semua pihak yang berkepentingan memberi cadangan dan pandangan bagi mempertingkat standard graduan undang-undang ke tahap lebih cemerlang.

Abdul Gani, yang juga Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia, berkata pandangan itu perlu demi memantapkan lagi sektor undang-undang, seiring program transformasi kerajaan.

Beliau berkata sehubungan itu, satu pasukan petugas tahap tinggi ditubuh bagi mengkaji semula kedudukan pendidikan undang-undang di negara ini.

"Sekiranya semua pihak yang terlibat dalam sektor undang-undang tidak mencari jalan penyelesaian segera kepada isu kemerosotan kualiti graduan undang-undang ini, sektor undang-undang akan ketinggalan dalam memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat negara ini dan di pasaran antarabangsa," katanya ketika berucap pada Konvokesyen ke-18 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman 2012, Rabu.

Pada majlis itu, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah menyampaikan sijil kepada 350 lulusan.

Abdul Gani berkata satu dariapda usaha ke arah memantapkan peperiksaan kelayakan bagi profesion undang-undang di negara ini ialah dengan mengadakan 'Common Bar Course' menggantikan Sijil Amalan Guaman.

"Jawatankuasa Common Bar Course sedang dalam proses menggubal modul, kurikulum, manual kursus dan segala dokumentasi yang diperlukan untuk melaksanakannya.

"Lembaga Kelayakan berharap Common Bar Course akan dapat menawarkan suatu bentuk latihan dan peperiksaan yang bertepatan dan bersesuaian dengan kehendak semasa serta dapat melahirkan barisan peguam yang berkaliber tinggi dan disegani," katanya.

Beliau juga berharap pendidikan undang-undang yang dilalui dapat membentuk lulusan Sijil Amalan Guaman berfikir secara bijak, kritikal, logik dan rasional.

Katanya, seorang peguam bela yang baik tidak akan terus membuat kesimpulan sendiri, sebaliknya beliau mampu melihat kedua-dua versi dan mengemukakan hujah paling kukuh supaya hakim dapat mencapai keputusan yang adil.

"Sebagai contoh, dalam kes Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai isu pendatang haram di Sabah, terdapat pelbagai pihak yang telah memberi komen dan membuat kesimpulan mereka sendiri terhadap perkara-perkara yang berbangkit di awal prosiding itu.

"Tindakan sebegini adalah sub judice kerana semua pihak sepatutnya tidak terlibat dalam perbicaraan melalui media," katanya.

Abdul Gani juga berharap lulusan undang-undang mampu berfikir dan bertindak secara rasional ketika berdepan isu yang berbangkit dalam tugasan seharian serta isu semasa negara, dan mengelak daripada membuat kesimpulan terburu-buru tanpa mengambil kira semua fakta dan keterangan. - BERNAMA

Artikel Lain