suria

MNLF Hormati Keputusan Sabah Sertai Malaysia

JOHOR BAHARU: Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) mengiktiraf dan menghormati keputusan rakyat Sabah menyertai Malaysia pada 1963, kata pengerusinya Muslimin Sema.

Beliau berkata rakyat Sabah berhak menentukan masa depan mereka dengan menyertai Malaysia 50 tahun lepas dan hak ini tidak boleh dipertikai mana-mana pihak.

"Kami (MNLF) akur dengan kehendak rakyat Sabah untuk menentukan nasib mereka sendiri. Mereka telah membuat keputusan untuk menyertai Malaysia dan kami menghormati keputusan mereka, itulah pendirian kami," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama melalui telefon dari Manila, Rabu.

Muslimin, yang juga naib datuk bandar Cotabato City di selatan Filipina, berkata dalam kunjungannya ke Sabah pada 1973, beliau melihat sendiri kebahagiaan yang dinikmati rakyat negeri itu setelah menyertai Malaysia.

"Mereka telah membuat keputusan dan kami menerima keputusan mereka itu," kata Muslimin sambil menjelaskan bahawa beliau mempunyai ramai saudara mara di Sabah, yang setia kepada negara mereka, Malaysia, dan menjalani kehidupan dengan penuh sejahtera.

"Mereka hidup dengan selesa dan makmur di Sabah, keadaan yang tidak mungkin dapat mereka nikamti sekiranya terus berada di selatan Filipina. Saya tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepada mereka berikutan apa yang berlaku sekarang," katanya.

Beliau berkata MNLF menganggap Sabah dan Malaysia sebagai "abang kami".

Demikian kata Muslimin apabila diminta mengulas tindakan Jamalul Kiram, yang menggelarkan dirinya sebagai sultan Sulu, untuk mengambil alih Sabah, sebuah negeri yang kaya dengan hasil bumi, yang didakwanya menjadi sebahagian daripada wilayah milik kesultanan itu.

Kata Muslimin MNLF tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tindakan Jamalul Kiram itu.

Tiga minggu lepas, Jamalul Kiram menghantar kumpulan bersenjata yang diketuai adiknya Azzimudie Kiram ke Kampung Tanduo, Lahad Datu untuk menuntut Sabah yang didakwanya sebagai kampung halaman nenek moyang mereka.

Tindakan mereka mendapat tentangan daripada pasukan keselamatan Malaysia, yang membuat kepungan dan seterusnya melancarkan serangan udara dan darat bagi membanteras kumpulan itu setelah tempoh akhir untuk mereka meletakkan senjata ditangguh beberapa kali.

Sehingga kini, operasi keselamatan dikenali sebagai 'Operasi Daulat' itu meragut nyawa 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia dan 56 pengganas.

Mengenai dakwaan media asing dan pegawai perisik Filipina bahawa beberapa pihak berkomplot dan menghasut Jamalul Kiram supaya membuat tuntutan terhadap Sabah, Muslimin berkata dakwaan itu perlu disiasat.

Dakwaan itu menyebut bahawa pengganas bersenjata "dipelawa" ke Sabah oleh beberapa ketua yang memihak kepada parti pembangkang Malaysia.

Muslimin berkata beliau yakin Jamalul Kiram "tidak mempunyai kemampuan" untuk melaksanakan operasi bersenjata yang rumit, termasuk menghantar pengganas bersenjata untuk menyeberangi laut ke Sabah.

"Agak memeranjatkan apabila mereka berkeupayaan menghantar satu ekspedisi (ke Sabah) seperti itu. Bukan mudah untuk pergi ke negara lain dan membunuh orang," katanya.

Diminta mengulas dakwaan bahawa setiap pengganas bersenjata yang melakukan pencerobohan di Sabah diberi upah US$600, pemimpin MILF itu berkata beliau tidak tahu menahu tentang perkara itu.

Ditanya tentang hubungan antara bekas pemimpin MNLF Nur Misuari dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muslimin berkata kedua-dua mereka kenal satu sama lain.

"Saya tidak berapa tahu (tentang hubungan mereka), tapi mereka kenal satu sama lain ketika Misuari menjadi gabenur Wilayah Autonomi Islam Mindanao," katanya.

Menjawab satu soalan, Muslimin berkata MNLF akan menyiasat dakwaan anggotanya terlibat dengan pencerobohan bersenjata di Sabah.

Katanya MNLF juga ingin mengetahui dengan lebih lanjut identiti pemimpin kumpulan pengganas itu yang dikenali sebagai 'Komander Musa', yang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia di Tanjung Batu, Lahad Datu. - BERNAMA

Artikel Lain